Risedronate untuk mencegah keretakan yang disebabkan osteoporosis di kalangan wanita selepas putus haid (menopos)

Ringkasan ulasan Cochrane ini memaparkan apa yang diketahui dari bukti kajian mengenai kesan risedronate untuk mencegah keretakan (tulang patah) yang disebabkan oleh osteoporosis.

Apakah itu osteoporosis dan apakah itu risedronate?
Tulang ialah bahagian badan anda yang hidup dan membesar. Sepanjang hayat anda, sel-sel tulang baharu tumbuh dan sel-sel tulang lama reput untuk memberi ruang bagi tulang baru dan lebih kuat. Apabila anda menghidapi osteoporosis, tulang lama reput dengan lebih cepat berbanding dengan pertumbuhan tulang baru yang menggantikannya. Apabila ini berlaku, tulang-tulang akan kehilangan mineral-mineral (seperti kalsium). Ini menjadikan tulang-tulang lebih lemah dan lebih mudah patah meskipun mengalami kecederaan kecil, seperti hentakan kecil atau jatuh. Wanita yang telah mengalami putus haid (menopos) lebih berkemungkinan menghidapi osteoporosis berbanding orang lain.

Risedronate tergulung dalam kelas ubat yang digelar 'biphosphonate. Ia adalah sejenis ubat yang memperlahankan sel-sel yang reput dalam tulang lama.

Dalam kalangan wanita putus haid (menopos) yang mempunyai ketumpatan tulang lebih menghampiri normal, atau mereka yang masih belum mengalami keretakan tulang di tulang belakang, maka, berisiko lebih rendah dalam mengalami keretakan tulang:

- tiada bukti yang mencukupi untuk memberitahu kami jika risedronate membawa kepada pengurangan bilangan wanita yang mengalami patah tulang;

- berdasarkan data terhad tiada bukti peningkatan kejadian buruk bagi wanita putus haid (menopos) yang berisiko lebih rendah untuk patah tulang.

Dalam kalangan wanita putus haid (menopos) yang telah dikenal pasti dengan osteoporosis (mempunyai ketumpatan tulang yang rendah, atau mempunyai keretakan tulang di tulang belakang) berisiko lebih tinggi untuk patah tulang, risedronate:

- mungkin mencegah keretakan pada tulang pinggul dan tulang selain daripada tulang belakang;

- mungkin tidak membawa kepada sebarang perbezaan dalam mencegah keretakan pergelangan tangan;

- tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk menunjukkan sama ada ia boleh mencegah keretakan pada tulang belakang berdasarkan tanda dan gejala klinikal;

- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam kejadian buruk bagi wanita putus haid (menopos) yang berisiko lebih tinggi untuk patah tulang.

Anggaran terbaik tentang perkara yang berlaku kepada wanita putus haid (menopos) yang berisiko lebih rendah untuk patah tulang yang mengambil risedronate atau plasebo:

- untuk patah tulang belakang yang berdasarkan tanda dan simptom klinikal serta patah tulang pinggul, adalah tidak mungkin untuk mengira kesannya kerana tiada patah tulang sedemikian dilaporkan dalam mana-mana kajian;

- berbanding plasebo, tiada maklumat yang mencukupi untuk mengetahui sama ada risedronate mencegah keretakan pada pergelangan tangan dan tulang selain daripada tulang belakang.

Anggaran terbaik tentang perkara yang berlaku kepada wanita putus haid (menopos) yang berisiko lebih tinggi untuk patah tulang yang mengambil risedronate atau plasebo:

Patah tulang belakang yang berdasarkan tanda dan gejala klinikal tidak dilaporkan dalam mana-mana kajian.

Keretakan tulang-tulang selain tulang belakang:

-10 dari 100 wanita mengalami keretakan apabila mengambil plasebo;

-8 dari 100 wanita mengalami keretakan apabila mengambil risedronate;

Patah tulang pinggul

-3 dari 100 wanita mengalami keretakan apabila mengambil plasebo;

-2 dari 100 wanita mengalami keretakan apabila mengambil risedronate.

Patah tulang pergelangan tangan:

- tiada maklumat yang mencukupi untuk mengetahui sama ada risedronate mencegah keretakan pergelangan tangan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Universiti Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information