Ubatan herba untuk sakit belakang bahagian bawah

Soalan ulasan

Kami meneliti bukti mengenai kesan ubat herba terhadap kesakitan pada orang yang mengalami sakit belakang bahagian bawah (LBP) yang tidak spesifik.

Latar belakang
Sakit belakang adalah perkara yang biasa dan sehingga 35% daripada populasi boleh dipengaruhi dalam bulan tertentu. LBP yang tidak spesifik ditakrifkan sebagai sakit di antara tulang rusuk paling bawah dan bahagian bawah punggung yang bukan disebabkan oleh masalah asas yang serius seperti rheumatoid arthritis, jangkitan, patah tulang, kanser, atau sciatica akibat cakera pecah atau tekanan lain pada saraf. Ubat herba yang diambil melalui mulut atau disapu pada kulit digunakan untuk merawat pelbagai keadaan termasuk sakit belakang.

Ciri-ciri kajian
Penyelidik dari Kolaborasi Cochrane meneliti bukti yang tersedia sehingga 5 Ogos 2013. Empat belas kajian telah menguji enam ubat herba dan melibatkan 2050 orang dewasa dengan LBP akut atau kronik yang tidak spesifik. Dua ubat herba oral, Harpagophytum procumbens (cakar syaitan) dan Salix alba (kulit kayu willow putih), dibandingkan dengan plasebo (pil palsu) atau dengan rofecoxib (Vioxx®). Tiga krim topikal, plaster atau gel, Capsicum frutescens (cayenne), Symphytum officinale L. (comfrey), dan Solidago chilensis (Brazilian arnica), dibandingkan dengan krim atau plaster plasebo dan gel homeopati. Satu minyak pati, lavender, dibandingkan dengan tanpa rawatan. Umur purata orang yang termasuk dalam kajian adalah 52 tahun dan kajian-kajian biasanya berlangsung selama tiga minggu.

Keputusan utama
Cakar syaitan, dalam dos harian standard 50 mg atau 100 mg harpagoside, boleh mengurangkan kesakitan lebih daripada plasebo; dos harian standard 60 mg mengurangkan kesakitan kira-kira sama dengan dos harian 12.5 mg Vioxx®. Manakala kulit kayu willow, dalam dos harian standard 120 mg dan 240 mg salicin boleh mengurangkan kesakitan lebih daripada plasebo; dos harian standard 240 mg mengurangkan kesakitan kira-kira sama dengan dos harian 12.5 mg Vioxx® (ubat anti-radang bukan steroid). Cayenne diuji dalam beberapa bentuk: dalam bentuk plaster, ia mengurangkan kesakitan lebih daripada plasebo dan hampir sama dengan gel homeopati Spiroflor SLR. Dua lagi ubat berasaskan salap, S. officinale dan S. chilensis kelihatan mengurangkan persepsi kesakitan lebih daripada krim plasebo. Minyak pati lavender yang digunakan oleh akutekanan kelihatan berkesan dalam mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fleksibiliti berbanding rawatan konvensional. Kesan sampingan telah dilaporkan, tetapi nampaknya hanya terhad kepada aduan gastrousus yang ringan, sementara atau kerengsaan kulit.

Kualiti bukti
Kebanyakan kajian yang disertakan adalah berisiko rendah berat sebelah dan kualiti bukti sangat rendah hingga sederhana. Gred bukti sederhana hanya ditemui untuk C. frutescens. Kajian hanya menguji kesan penggunaan jangka pendek (sehingga enam minggu). Pengarang daripada lapan kajian yang disertakan mempunyai potensi konflik kepentingan dan empat pengarang lain tidak mendedahkan konflik kepentingan. Vioxx® telah ditarik balik daripada pasaran kerana kesan sampingan, jadi ketiga-tiga bahan harus dibandingkan dengan ubat sakit yang sedia ada, seperti ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) dan acetaminophen, untuk keberkesanan dan keselamatan relatif.

Kesimpulan
Bukti kualiti rendah hingga sederhana menunjukkan bahawa empat ubat herba mungkin boleh mengurangkan kesakitan pada LBP akut dan kronik dalam jangka pendek dan mempunyai sedikit kesan sampingan. Tiada bukti lagi bahawa mana-mana bahan ini selamat atau efektif untuk kegunaan jangka panjang. Kajian yang besar dan direka dengan baik diperlukan untuk menguji lagi keberkesanan intervensi ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information