Parasetamol untuk mengurangkan sakit selepas pembuangan surgikal gigi geraham bongsu bawah.

Pembuangan surgikal gigi geraham bongsu (molar ketiga) adalah prosedur lazim yang dipraktikkan dalam pembedahan oral. Komplikasi pos-operatif termasuklah bengkak, lebam dan pembukaan mulut yang terhad namun pesakit lebih bimbang terhadap sakit pos-operatif, yang mungkin agak teruk. Parasetamol berkesan untuk mengurangkan sakit dengan peratusan kesan buruk yang rendah. Ia merupakan analgesik paling lazim diguna dan boleh didapati tanpa preskripsi di serata dunia. Dalam sorotan ini kami menyiasat dos optimum parasetamol dan masa optimum pemberian untuk mengurangkan sakit selepas pembuangan surgikal gigi geraham bongsu. Kesan sampingan pelbagai dos juga ditinjau.

Duapuluh satu kajian (dengan lebih 2000 peserta) dimasukkan. Parasetamol memberi manfaat signifikan secara statistik berbanding plasebo untuk mengurangkan sakit selepas 4 dan 6 jam pengambilan ubat. Ia paling berkesan pada dos 1000mg, dan boleh diambil setiap enam jam tanpa mengkompromi keselamatan. Secara keseluruhan, tiada perbezaan statistik yang signifikan antara bilangan pesakit yang melaporkan kesan buruk, 19% dalam kumpulan parasetamol dan 16% dalam kumpulan plasebo.Perlu diambil perhatian bahawa kebanyakan kajian menunjukkan limitasi terutama pelaporan maklumat yang lemah. Walau bagaimanapun, sorotan merumuskan bahawa parasetamol adalah selamat, berkesan untuk merawat sakit pos-operatif selepas pembuangan surgikal gigi geraham bongsu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information