Rawatan untuk inkontinens urinari selepas strok dalam kalangan dewasa

Soalan ulasan

Kami ingin menilai keberkesanan intervensi yang bertujuan membantu inkontinens urinari dalam kalangan dewasa yang mengalami strok lebih dari satu bulan terdahuliu.

Latar belakang

Separuh orang yang dimasukkan ke hospital dengan strok mempunyai inkontinens urinari. Selain kehilangan air kencing tidak terkawal, gejala-gejala inkontinens urinari termasuklah keinginan mendesak untuk kencing (inkontinens tergesa) atau kebocoran air kencing ketika ketawa atau bersin (inkontinens stres). Gejala-gejala ini lebih teruk dalam kalangan pesakit-pesakit strok berbanding orang lain dengan inkontinens urinari. Ia menyebabkan rasa malu dan distres dan mempengaruhi keupayaan orang untuk mengambil bahagian dalam pemulihan. Inkontinens urinari mengurangkan perasaan harga diri dan kemurungan adalah lazim. Ia juga mempunyai impak besar kepada keluarga dan boleh mempengaruhi sama ada pesakit dapat pulang ke rumah.

Tarikh carian

Carian adalah terkini sehingga 1 November 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 20 kajian yang membuat 21 perbandingan dan melibatkan 1338 orang. Kajian-kajian tersebut termasuk pelbagai terapi tingkah laku (misalnya latihan otot lantai pelvis), terapi komplementari (contohnya akupunktur manual atau akupuntur elektrik) dan terapi fizikal (misalnya rangsangan saraf elektrik transkutan, TENS), serta ubat-ubatan (contohnya oxybutynin, estrogen). Satu kajian menyiasat kesan penilaian dan rawatan oleh pengamal jururawat kontinens. Kumpulan kawalan adalah umumnya 'penjagaan biasa' atau tiada rawatan.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati intervensi tingkah laku dapat mengurangkan bilangan purata episod inkontinens dalam 24 jam tetapi mungkin membuat perbezaan sedikit atau tiada perbezaan kepada kualiti hidup. Walau bagaimanapun, intervensi dari pengamal jururawat kontinens mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang yang inkontinens selama tiga bulan selepas rawatan. Terapi komplementari seperti akupunktur boleh meningkatkan jumlah peserta kontinens selepas rawatan. Terapi fizikal, seperti rangsangan saraf elektrik transkutan, boleh mengurangkan bilangan purata episod inkontinens dalam 24 jam dan mungkin meningkatkan kebolehan fungsi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah terhad kerana pelaporan yang kurang baik (terutamanya dalam kajian terdahulu) dan bilangan kecil peserta kajian dalam kebanyakan perbandingan. Lebih separuh daripada kajian tidak memberi maklumat mengenai kesan sampingan.

Kesimpulan pengarang

Kajian berkualiti tinggi membandingkan rawatan yang berbeza dengan penjagaan biasa atau tiada rawatan, melibatkan lebih ramai bilangan peserta diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save