Antibiotik untuk merawat jangkitan tulang kronik pada kalangan orang dewasa

Osteomielitis merupakan peradangan dalam tulang atau sumsum tulang yang disebabkan oleh bakteria yang menghasilkan nanah, mikobakteria, atau kulat. Semua jangkitan tulang yang berlarutan dikenali sebagai osteomielitis kronik. Pesakit-pesakit dirawat dengan antibiotik sistemik yang boleh diberikan melalui mulut atau parenteral (jadi melalui suntikan ke dalam otot atau vena). Kajian semula ini dikemaskinikan daripada edisi sebelumnya yang diterbitkan pada 2009.

Kami telah menyertakan lapan ujikaji kecil yang mengandungi sejumlah 282 orang. Ujikaji-ujikaji berkenaan membentangkan keputusan bagi 248 orang yang menghidapi osteomielitis kronik. Jangkitan tulang pasca-trauma merupakan jenis osteomielitis kronik yang paling kerap berlaku. Pembuangan tisu terjangkit melalui pembedahan (debridmen) sebelum terapi antibiotik dimulakan telah dilaporkan sebagai sebahagian daripada rawatan dalam semua ujikaji. Namun, dalam empat ujikaji, adalah tidak jelas sama ada kesemua pesertanya menjalani pembedahan. Terdapat lima pembandingan bagi kaedah rawatan yang berlainan. Namun, kami hanya dapat mengumpulkan keputusan bagi membandingkan antibiotik yang diberikan melalui mulut dengan antibiotik yang diberikan secara parenteral.

Keputusan yang disatukan (yang mengandungi data daripada 150 orang) tidak menunjukkan sebarang perbezaan antara pesakit yang diberikan antibiotik melalui mulut atau parenteral dari segi bilangan pesakit yang tidak menunjukkan simptom (dalam 'peringkat peredaan'), selepas rawatan (empat ujikaji) atau 12 bulan (atau lebih) kemudiannya (tiga ujikaji). Hal ini juga benar dari segi bilangan pesakit yang mempunyai kesan sampingan negatif atau superjangkitan (jangkitan lain yang tidak sensitif kepada rawatan antibiotik). Bukti-bukti tersebut mencadangkan bahawa kaedah pemberian antibiotik tidak memberi kesan kepada kadar peredaan penyakit sekiranya bakteria penyebab jangkitan berkenaan sensitif kepada antibiotik yang digunakan. Namun begitu, pengesahan diperlukan untuk perkara tadi. Terdapat ketiadaan atau tidak mencukupi bukti sebagai dasar untuk mempertimbangkan jangka masa rawatan antibiotik atau antibiotik yang paling sesuai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh James Tan Wing (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com

Tools
Information