Antibiotik yang berbeza untuk faringitis streptokokus kumpulan A

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui antibiotik mana lebih berkesan dalam merawat sakit tekak yang disebabkan oleh bakteria (streptokokus hemolitik beta kumpulan A (GABHS)).

Latar belakang

Kebanyakan sakit tekak adalah disebabkan oleh virus, tetapi ramai orang membawa bakteria tekak, kadangkala menyebabkan jangkitan bakteria tekak.

Jangkitan GABHS boleh membawa komplikasi serius termasuk demam reumatik dan penyakit buah pinggang. Antibiotik kerap dipreskrib untuk mengelak komplikasi, tetapi memberi manfaat sederhana untuk sakit tekak, walaupun GABHS wujud. Kebanyakan jangkitan tekak boleh sembuh sendiri dan risiko komplikasi adalah sangat rendah untuk kebanyakan orang di negara berpendapatan tinggi. Walau bagaimanapun, kadangkala antibiotik diperlukan. Penisilin, satu antibiotik murah, telah lama digunakan untuk merawat GABHS. Rintangan GABHS terhadap penisilin adalah jarang.

Tarikh carian

Kami mencari kesusasteraan sehingga Mac 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 19 kajian (18 terbitan) yang melibatkan 5835 peserta. Kajian mengkaji antibiotik yang berbeza untuk orang dengan sakit tekak yang diuji positif bagi GABHS, dan berumur dari 1 bulan hingga 80 tahun. Sembilan kajian melibatkan hanya kanak-kanak; dan sembilan melibatkan pesakit berumur 12 tahun ke atas. Kebnyakan kajian diterbitkan lebih 15 tahun yang lalu; semua kecuali satu melaporkan hasil klinikal.

Sumber pembiayaan kajian

Tiga belas kajian disokong oleh pembiayaan kajian ubat - sesetengah menerima geran - yang lain melibatkan orang yang diupah oleh syarikat ubat. Lima kajian tidak melaporkan pembiayaan.

Keputusan-keputusan utama

Kesan antibiotik adalah serupa, dan semua menyebabkan kesan-kesan sampingan (sepert loya dan muntah, ruam), tetapi tiada bukti kukuh untuk menunjukkan perbezaan bermakna antara antibiotik. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan komplikasi jangka pangang, oleh itu tidak jelas jika sebarang kelas antibiotik lebih baik dalam mengelak komplikasi serius yang jarang berlaku.

Semua kajian adalah di negara berpendapatan tinggi dengan risiko rendah komplikasi streptokokus, oleh itu kajian di negera berpendapatan rendah dan komuniti orang asli di mana risiko masih tinggi diperlukan. Ulasan kami menyokong penggunaan penisilin sebagai antibiotik pilihan pertama dalam kalangan pesakit dengan jangkitan tekak oleh GABHS.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah untuk semua hasil apabila makrolida atau sefalosporin dibandingkan dengan penisilin. Kualiti bukti telah diturunkan gred kerana kebimbangan tentang perambangan dan pembutaan, selang keyakinan yang luas (anggaran tidak tepat) dan perbezaan statistikal antara kajian yang mungkin mempengaruhi kesahihan anggaran tersebut. Kebanyakan pengarang kajian tidak melaporkan maklumat yang cukup tentang kaedah untuk memastikan tiada bias.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save