Pelbagai antibiotik untuk faringitis streptokokus kumpulan A

Soalan ulasan

Kami ingin tahu antibiotik mana lebih berkesan merawat sakit tekak akibat bakteria (streptokokus hemolitik beta kumpulan A (GABHS)).

Latar belakang

Kebanyakan sakit tekak adalah disebabkan oleh virus, tetapi ramai orang membawa bakteria tekak, yang kadangkala menyebabkan jangkitan bakteria tekak.

Jangkitan GABHS boleh membawa komplikasi serius termasuk demam reumatik dan penyakit buah pinggang. Antibiotik kerap dipreskrib untuk mencegah komplikasi, tetapi memberi manfaat sederhana untuk sakit tekak, walaupun dengan kehadiran GABHS. Kebanyakan jangkitan tekak sembuh tanpa rawatan dan risiko komplikasi adalah sangat rendah untuk kebanyakan orang di negara berpendapatan tinggi. Walau bagaimanapun, kadangkala antibiotik diperlukan. Penisilin, satu antibiotik yang tidak mahal, telah lama diguna untuk merawat GABHS. Rintangan GABHS terhadap penisilin adalah jarang.

Tarikh carian

Kami mencari literatur hingga 3 September 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami sertakan 19 kajian (18 terbitan) melibatkan 5839 orang. Kajian yang disertakan mengkaji pelbagai antibiotik untuk orang dengan sakit tekak yang diuji positif bagi GABHS, dan berumur dari satu bulan hingga 80 tahun. Sembilan kajian melibatkan hanya kanak-kanak; dan 10 kajian melibatkan orang berumur 12 tahun ke atas. Kebanyakan kajian diterbitkan lebih 15 tahun yang lalu; semua kecuali satu melaporkan hasil yang relevan untuk pesakit.

Sumber pembiayaan kajian

Dua belas kajian melaporkan pembiayaan dari syarikat ubat. Pengarang enam kajian (dalam lima penerbitan) bekerja untuk syarikat ubat. Tujuh kajian (dalam enam penerbitan) tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Kesan antibiotik adalah serupa, dan semua antibiotik menyebabkan kesan-kesan sampingan (sepert loya dan muntah, ruam), tetapi tiada bukti kukuh menunjukkan perbezaan yang bermakna antara antibiotik. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan komplikasi jangka pangang, oleh itu tidak jelas jika sebarang kelas antibiotik lebih baik untuk mencegah komplikasi serius yang jarang berlaku.

Semua kajian dibuat di negara berpendapatan tinggi dengan risiko rendah komplikasi streptokokus, oleh itu kajian di negera berpendapatan rendah dan komuniti orang asli di mana risiko komplikasi kekal tinggi diperlukan. Ulasan kami menyokong penggunaan penisilin sebagai antibiotik pilihan pertama dalam kalangan orang dengan jangkitan tekak oleh GABHS.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti sebagai rendah atau sangat rendah untuk semua hasil apabila makrolida atau sefalosporin dibandingkan dengan penisilin. Kami bimbang tentang ketegasan kaedah kajian, anggaran yang tidak begitu tepat dan perbezaan antara kajian-kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information