Perkhidmatan kejururawatan khusus di rumah untuk kanak-kanak dengan penyakit akut dan kronik

Ulasan ini bertujuan untuk mengkaji sama ada perkhidmatan kejururawatan pediatrik khusus di rumah untuk kanak-kanak dengan penyakit akut dan kronik mengurangkan jumlah kemasukan ke hospital dan tempoh berada di hospital, meningkatkan penjagaan kesihatan dalam komuniti dan mengurangkan tekanan terhadap keluarga ketika anak mereka sakit. Ini adalah kemas kini untuk ulasan asal kami yang telah diterbitkan pada tahun 2006. Kami menemui tujuh kajian rawak terkawal (RCT) yang relevan dengan sejumlah 840 kanak-kanak berusia dari lahir hingga 18 tahun dengan penyakit akut dan/atau kronik yang menerima sama ada perkhidmatan kejururawatan khusus di rumah atau penjagaan kesihatan konvensional. Hasilnya termasuk penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, kesihatan fizikal dan mental, kepuasan, kesan buruk terhadap kesihatan dan kos. Kami memutuskan untuk tidak menggabungkan keputusan RCT ini kerana kepelbagaian dalam jenis perkhidmatan yang disediakan, jenis peserta dan ukuran hasil yang digunakan. Keputusan RCT individu menunjukkan peningkatan kepuasan dengan penjagaan di rumah tanpa kesan buruk terhadap hasil kesihatan fizikal untuk kanak-kanak. Terdapat beberapa bukti bahawa perkhidmatan kejururawatan khusus di rumah mengurangkan tempoh berada di hospital; namun, tiada bukti bahawa ia menyebabkan pengurangan penggunaan perkhidmatan hospital. Kajian lebih lanjut adalah diperlukan, iaitu yang mengukur kesihatan, kepuasan, penggunaan perkhidmatan dan kos jangka panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information