Menambah arginina untuk mencegah enterokolitis nekrosis dalam kalangan bayi pramasa

Apakah isu-isunya? Enterokolitis nekrosis (NEC) adalah satu keadaan di mana keradangan merosakkan saluran gastrousus bayi (GI). Kadar NEC adalah di antara 4% hingga 22% dalam kalangan bayi dengan berat lahir yang sangat rendah. Enterokolitis nekrosis mungkin disebabkan bayi tidak cukup matang, kurang aliran darah ke saluran GI dan kerosakan permukaan (mukosa) akibat jangkitan atau pemakanan formula. Untuk melindungi saluran GI, badan menghasilkan bahan semulajadi-nitrik oksida - dari asid amino arginina. Kepekatan arginina plasma dilaporkan rendah dalam kalangan bayi yang berat lahir sangat rendah dan bayi pramasa yang mengalami NEC. Menambah arginina tambahan kepada larutan pemakanan boleh mencegah NEC.

Kenapa ianya penting? NEC boleh mengakibatkan kerosakan kekal kepada usus, keperluan untuk pembedahan berbilang, penginapan hospital yang berpanjangan, kematian dan peningkatan kos kepada sistem penjagaan kesihatan.

Apakah bukti yang kami perolehi? Pengarang ulasan mencari literatur untuk kajian terkawal yang menilai efikasi dan keselamatan penambahan arginina. Menambah arginina tambahan kepada pemakanan bayi pramasa mengurangkan risiko NEC di dalam tiga kajian berkualiti tinggi yang memasukkan 285 bayi yang lahir kurang dari 34 minggu gestasi. Enam bayi perlu dirawat, untuk mendapat manfaat daripada rawatan. Para penyelidik melaporkan tiada kesan sampingan yang ketara langsung disebabkan oleh terlalu banyak arginina dalam 28 hari pertama, dan satu kajian melaporkan tiada kelewatan perkembangan jangka panjang (36 bulan). Kesan yang mungkin berpunca daripada penambahan arginina termasuk tekanan darah yang lebih rendah dan perubahan dalam kawalan glukosa darah.

Apakah maksudnya? Penambahan arginina boleh mengurangkan insiden dan keterukan NEC dalam kalangan bayi pramasa. Keputusan adalah terhad, kerana kajian-kajian hanya melibatkan segelintir pesakit. Satu kajian yang besar memasukkan bayi dari pelbagai pusat diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save