Intervensi untuk masalah sukar menelan yang disebabkan oleh penyakit otot kronik yang progresif

Soalan kajian

Apakah kesan daripada intervensi bagi masalah sukar menelan bagi mereka yang menghidap penyakit otot kronik yang progresif?

Latar belakang

Penghidap penyakit otot yang progresif sering mengalami masalah sukar menelan (disfagia) akibat kelemahan otot. Perubahan-perubahan dalam fungsi menelan boleh membawa kepada penurunan berat badan atau ketidakupayaan untuk meningkatkan berat, serta masalah-masalah pernafasan akibat tersedak makanan ke dalam saluran pernafasan dan jangkitan sistem respiratori yang berulang. Rasa takut atau malu tentang gejala-gejala seperti tercekik, batuk atau tersedak semasa makan dan tempoh masa makan yang lama juga boleh membawa kepada masalah psikologi dan sosial bagi mereka yang hidup dengan disfagia. Kami ingin mengetahui sejauh manakah keberkesanan pelbagai bentuk intervensi berbeza boleh merawat disfagia dalam kalangan pesakit yang mengalami masalah otot kronik yang progresif.

Ciri-ciri Kajian

Sorotan ini melibatkan satu kajian (22 peserta), yang membandingkan kesan 3 bulan terapi intravena immunoglobulin (IVIg) dengan plasebo. Tiga peserta juga telah dirawat dengan ubat prednisone semasa kajian. Beberapa limitasi dari aspek reka bentuk, pelaksanaan, dan laporan kajian mungkin memberi kesan kepada keputusan. Kami paling cenderung untuk melihat rawatan yang manakah mempengaruhi berat badan, dari segi sama ada mengurangkan kehilangan berat atau meningkatkan berat badan.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kami mengenal pasti hanya satu ujian rawak terkawal melibatkan intervensi untuk merawat disfagia dalam sejenis penyakit, iaitu 'inclusion body myositis'. Tidak terdapat cukup bukti untuk menyokong atau menolak sebarang bentuk intervensi untuk disfagia. Kesan-kesan klinikal yang relevan oleh IVIg terhadap disfagia dalam kes 'inclusion body myositis' tidak boleh disahkan atau ditolak dengan menggunakan bukti-bukti dalam kajian ini. Kajian ini tidak menilai penambahan atau penetapan berat badan atau melaporkan sepenuhnya kesan IVIg terhadap proses menelan, yang mana penyelidik hanya membuat ukuran menggunakan laporan soal selidik kendiri dan fluroskopi video (proses menelan yang dirakam dengan X-ray). Sebarang kesan berbahaya tidak pula dilaporkan sepenuhnya. Secara keseluruhannya kualiti bukti adalah rendah disebabkan oleh limitasi reka bentuk kajian dan laporan.

Bukti ini terkemaskini sehingga Disember 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save