Peningkatan pengambilan air untuk mencegah batu karang

Soalan ulasan

Kami melakukan ulasan ini untuk mengetahui sama ada meminum lebih banyak air boleh mencegah pembentukan batu karang dalam individu.

Latar belakang

Batu karang adalah biasa dalam kalangan manusia. Meminum lebih banyak air boleh mencegah orang yang tidak pernah mengalami batu karang dari mendapat batu karang dan/atau membantu mencegah batu karang bagi orang yang pernah mempunyai batu karang sebelumnya untuk tidak mendapatkannya lagi. Kami tidak pasti keberkesanan kaedah ini dan sama ada meminum lebih banyak air mempunyai kesan yang tidak diingini.

Ciri-ciri kajian

Kami memeriksa penyelidikan yang telah diterbitkan sehingga Oktober 2019. Kajian yang dimasukkan adalah yang memutuskan secara rawak sama ada pesakit diminta untuk meminum lebih banyak air (untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 2 liter air kencing) atau tidak diberikan arahan khas. Kami mendapati tiada kajian yang melibatkan orang tidak pernah mempunyai batu karang. Kami mendapati satu kajian, yang melibatkan 220 orang yang pernah mempunyai batu karang berkalsium pada masa lalu, tetapi telah bebas daripada batu karang ketika mereka memulakan kajian. Purata umur peserta adalah kira-kira 41 tahun, dan dua pertiga daripada peserta adalah lelaki.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa meminum lebih banyak air boleh mengurangkan risiko kembalinya batu karang. Ia juga boleh memanjangkan masa yang diambil untuk batu karang wujud kembali. Kami tidak menjumpai bukti tentang kesan yang tidak diingini.

Kepastian bukti

Kepastian bukti bagi kedua-dua hasil yang telah kami jumpai adalah rendah. Ini bermakna bahawa keputusan sebenar mungkin agak berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save