Pelekat tisu untuk penutupan luka kulit selepas pembedahan

Pelekat tisu atau glu semakin digunakan sebagai pengganti jahitan (sutur) atau stapel bagi menutup luka. Adalah dicadangkan pelekat tisu mungkin lebih cepat dan mudah untuk diguna berbanding sutur untuk menutup luka pembedahan. Pelekat tisu tidak membawa risiko kecederaan akibat benda tajam - tidak seperti jarum yang diguna untuk sutur - dan dianggap menjadi penghalang kepada jangkitan. Ini boleh bermakna ia juga menggalakkan penyembuhan, dan keperluan untuk membuang sutur dapat dielakkan.

Para penyelidik mencari literatur perubatan sehingga Mac 2014, dan mengenalpasti 33 kajian perubatan yang menyiasat penggunaan pelekat tisu untuk penutupan luka. Mereka membandingkan pelekat tisu dengan kaedah penutupan lain seperti sutur, stapel, pita pelekat atau pelekat tisu jenis lain. Hasil utama yang dicari adalah sama ada luka tetap tertutup - dan tidak terhurai - dan sama ada ia dijangkiti. Keputusan ulasan jelas menunjukkan luka terhurai berkurangan apabila sutur digunakan. Kajian juga melaporkan beberapa jenis pelekat tisu mungkin lebih cepat untuk diguna berbanding jenis-jenis lain. Tiada perbezaan jelas di antara pelekat tisu dengan kaedah alternatif untuk menutup luka dari segi hasil kosmetik atau kos. Keputusan mengenai kaedah pilihan penutupan kulit oleh pakar bedah dan pesakit adalah bercampur-campur.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi irfankb@usm.my

Tools
Information
Share/Save