Asetaminofen (paracetamol) untuk osteoartritis 

Sejauh manakah asetaminofen(paracetamol) berfungsi untuk merawat osteoartritis dan adakah ia selamat? Apakah perbezaan antara asetaminofen (paracetamol) dan agen anti-radang yang lain dalam merawat osteoartritis?

Lima belas kajian berkualiti sederhana hingga tinggi telah dikaji semula dan kajian-kajian ini memberikan bukti terbaik yang kita ada kini. Kajian-kajian tersebut melibatkan hingga 6000 orang yang menghidap osteoartritis pada pinggul atau lutut. Kajian-kajian ini membandingkan antara mereka yang mengambil 4000 mg acetaminophen (Tylenol, Paracetamol) setiap hari dengan mereka yang mengambil plasebo (pil palsu) atau non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs). Secara purata, kebanyakan dari kajian-kajian tersebut mengambil masa selama 6 minggu.

Apakah osteoartritis dan apakah ubat yang digunakan untuk merawatnya?
Osteoartritis (OA) adalah sejenis artritis yang paling kerap dijumpai dalam kalangan pesakit dan boleh menjejaskan tangan, pinggul, bahu dan lutut. Dalam OA, tulang rawan yang melindungi hujung tulang rosak dan ini menyebabkan kesakitan dan bengkak. Terdapat dua kumpulan ubat utama dalam rawatan OA: acetaminophen (paracetamol) yang digunakan untuk melegakan kesakitan tetapi tidak memberi kesan kepada bengkak; dan NSAIDs, seperti ibuprofen, diclofenac dan cox II (celecoxib), yang digunakan untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak. Adalah tidak jelas perihal kumpulan ubat manakah yang terbaik untuk digunakan atau kumpulan ubat manakah yang akan menyebabkan lebih banyak kesan sampingan: dalam dos tinggi, acetaminophen (paracetamol) mungkin menyebabkan masalah pada perut seperti ulser manakala NSAIDs menyebabkan masalah pada perut, buah pinggang atau jantung.

Apakah yang ditunjukkan oleh kajian-kajian tersebut?
Perbandingan acetaminophen (paracetamol) dengan plasebo
Kajian menunjukkan orang yang mengambil acetaminophen (paracetamol) mengalami kurang kesakitan (apabila berehat, bergerak, tidur dan keseluruhan) dan berasa lebih baik secara keseluruhannya berbanding mereka yang mengambil plasebo.  Kesakitan (apabila diukur menggunakan skala lain), fungsi fizikal dan kekerasan di sendi adalah lebih kurang sama.
• Dalam skala 0-100, kadar kesakitan berkurangan sebanyak lebih 4 mata dalam kalangan orang yang mengambil acetaminophen (paracetamol) berbanding mereka yang mengambil plasebo.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nurhazirah 'Aqilah Salim Musa (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Lai Nai Ming, Taylor's University School of Medicine, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi qilahsalim@yahoo.com. 

Tools
Information