Program saringan untuk pengesanan awal dan pencegahan kanser oral.

Soalan ulasan

Ulasan oleh penulis Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane ini ditulis untuk menyiasat keberkesanan program saringan masakini dalam mengesan kanser oral yang berlaku pada peringkat awal; sama ada ia dapat membantu mengurangkan kadar kematian akibat kanser oral.

Latarbelakang

Kadar kanser oral semakin meningkat di seluruh dunia di mana ia merupakan kanser keenam paling lazim. Kadar kanser oral yang paling tinggi berlaku dalam kalangan populasi kurang bernasib baik. Faktor risiko dalam perkembangan penyakit tersebut adalah pengunaan tembakau, alkohol, faktor umur, jantina dan pendedahan kepada cahaya matahari walaupun faktor jangkitan kandida (yang menyebabkan seriawan) dan virus papiloma manusia (yang menyebabkan kutil) juga telah didokumen. Mereka yang banyak mengambil alkohol dan merokok berrisiko 38 kali lebih tinggi untuk mengalami kanser oral berbanding dengan mereka yang tidak.Faktor-faktor ini dianggap sangat penting bagi pembentukan kanser dalam kalangan orang muda, iaitu kumpulan yang mengalami peningkatan insiden penyakit tersebut, terutama di negara yang mempunyai insiden tinggi.

Variasi geografi kejadian kanser oral di seluruh dunia adalah luas. Misalnya, ia merupakan kanser paling lazim bagi kaum lelaki di India, Sri Lanka dan Pakistan di mana 30% kes baru kanser di negara-negara tersebut adalah kanser oral sedangkan terdapat hanya 3% kes baru kanser di United Kingdom yang melibatkan kanser oral.

Apabila pesakit mula mendapatkan bantuan perubatan, kanser oral mereka biasanya adalah di peringkat lewat atau lanjut di mana keadaan penyakit serta rawatan untuknya sangat melemahkan. Kadar kematian kanser oral dan kesan negatif penyakit tersebut adalah tinggi, malah terus meningkat berbanding kanser lain seperti payudara dan kolon.

Program saringan bagi kanser jenis yang lain telah terbukti berkesan di dalam pengesanan awal. Namun, walaupun saringan mungkin bermanfaat, terdapat juga beberapa keburukan kerana saringan berpotensi menghasilkan keputusan positif yang palsu serta juga keputusan negatif palsu. Saringan boleh disasarkan kepada kumpulan berisiko tinggi. Peluang tersebut boleh berlaku sekiranya individu tersebut menghadirkan diri ke perkhidmatan kesihatan bagi tujuan lain, atau pengesanan boleh juga dibuat dengan melihat statistik populasi secara keseluruhan.

Matlamat saringan pencegahan untuk pengesanan awal kanser oral adalah penyaringan individu untuk mengenalpasti keadaan pre-kanser seperti lesi leukoplakia.Kaedah saringan paling lazim ialah pemerhatian visual oleh klinisian namun teknik lain termasuklah penggunaan pewarna biru khas, teknik pengimejan dan pengukuran perubahan biokimia berbanding dengan nilai normal.

Ciri kajian

Bukti di mana ulasan ini didasarkan adalah terkini sehingga 22 Julai 2013.Kajian tunggal yang dimasukkan di dalam ulasan ini bertempat di kawasan pendalaman kota Trivandrum di Kerala, India. Kajian melibatkan 191,873 orang dewasa yang sihat yang berumur 35 tahun ke atas di dalam 13 kluster dengan purata 14,759 peserta setiap kluster. Saringan dijalankan di tujuh buah kluster (16,517 peserta) dan enam kluster lain yang berperanan sebagai kontrol (95,356 peserta). Peserta tidak dimasukkan di dalam kajian sekiranya terlantar sakit, mempunyai penyakit tuberkulosis, penyakit lain yang melemahkan atau telahpun mengidap kanser oral.

Pekerja penjagaan kesihatan yang telah dilatih untuk mengesan lesi oral menjalankan saringan peserta tersebut. Sejarah sosial peserta termasuk penggunaan paan, tembakau, alkohol dan suplemen diet juga direkod.

Keputusan utama

Ulasan ini mendapati, secara keseluruhannya, tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada saringan secara pemerhatian visual dapat mengurangkan kadar kematian kanser oral dan tidak terdapat juga bukti untuk kaedah saringan-saringan lain. Namun, terdapat sedikit bukti yang ia mungkin dapat mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit yang menggunakan tembakau dan alkohol, walaupun kajian tunggal tersebut boleh dipengaruhi oleh bias.

Kualiti bukti

Bukti yang ditemui adalah berkualiti rendah dan terhad kepada hanya sebuah kajian yang dinilai dan dengan demikian berisiko tinggi untuk menjadi berat sebelah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail, (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Gan Siew Hua (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save