Ubat-ubatan untuk mencegah penyakit buah pinggang di kalangan mereka yang mempunyai penyakit kencing manis

Ramai orang dengan penyakit kencing manis (sekitar 20% hingga 60%) mengalami masalah tekanan darah tinggi (hipertensi) dan memerlukan ubat-ubatan (ejen-ejen antihipertensi) untuk merawat keadaan ini. Ubat-ubatan ini juga membantu mencegah penyakit buah pinggang di kalangan mereka yang mempunyai penyakit kencing manis (diabetes) dengan tekanan darah normal ataupun tekanan darah tinggi. Ramai orang dengan penyakit buah pinggang yang disebabkan oleh penyakit kencing manis (diabetic kidney disease, DKD) (20% hingga 40%) akhirnya mendapat penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD), dan ramai lagi yang meninggal dunia disebabkan oleh penyakit jantung ataupun masalah peredaran darah lain sebelum ESKD terjadi.

Kami telah menjalankan pencarian untuk mengenalpasti manfaat dan kemudaratan rawatan antihipertensi di kalangan orang dengan penyakit kencing manis yang tiada tanda-tanda penyakit buah pinggang. Kami mendapati 26 kajian melibatkan sejumlah 61,264 peserta yang membandingkan ubat-ubatan antihipertensi dengan plasebo (suatu agen neutral yang tidak mempunyai manfaat terapeutik ataupun kemudaratan), tanpa rawatan, dan dengan ubat-ubatan antihipertensi lain. Suatu kelas ubat yang dikenali sebagai ACEi (perencat enzim penukar angiotensin) didapati boleh menghalang pembentukan penyakit buah pinggang dan mengurangkan kematian di kalangan pesakit kencing manis yang mempunyai paras albumin kencing normal berbanding dengan plasebo atau ubat penghalang terusan kalsium ("calcium-channel blockers"). Kami mendapati tiada kesan ketara daripada ubat penghalang reseptor angiotensin (ARB) terhadap kejadian ESKD ataupun kematian.

Analisis subkumpulan yang mencadangkan manfaat yang sama daripada ARB bagi orang dengan penyakit kencing manis jenis 2 yang mempunyai risiko penyakit jantung yang tinggi harus ditafsir dengan berhati-hati. Perbandingan langsung ACEi dengan ARB dalam kumpulan ini tidak menunjukkan perbezaan dalam mencegah DKD. Manfaat ACEi adalah konsisten, dan ACEi boleh menjadi intervensi pilihan pertama untuk pencegahan utama DKD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ch'ng Chin Chin (Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Pulau Pinang). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi chngchinchin@gmail.com.

Tools
Information