Menggunakan agonis adrenergik alfa-2 untuk mencegah komplikasi jantung selepas pembedahan major

Soalan ulasan

Adakah agonis adrenergik alfa-2 (clonidine, dexmedetomidine dan mivazerol) mengurangkan bilangan komplikasi kematian dan komplikasi jantung ketika diberikan pada masa pembedahan?

Latar belakang

Komplikasi yang berkaitan dengan jantung boleh mengakibatkan kematian dan tempoh tinggal di hospital yang lama selepas pembedahan. Setiap tahun, kira-kira 300 juta orang menjalani pembedahan major, yang mana sembilan juta mengalami komplikasi jantung yang serius. Komplikasi ini mungkin berlaku, sebahagiannya, kerana pembedahan memberi stres yang besar kepada jantung. Stres ini boleh membawa kepada tekanan darah tinggi dan kadar jantung yang tinggi semasa pembedahan, yang mana tidak baik untuk jantung. Agonis adrenergik alfa-2 adalah sekumpulan ubat-ubatan yang boleh mencegah tekanan darah dan kadar denyut jantung meningkat semasa pembedahan. Oleh itu, ubat-ubatan ini juga boleh melindungi jantung dari stres pembedahan. Kami ingin mengetahui jika pemberian ubat-ubatan ini pada masa pembedahan boleh melindungi jantung dari stres pembedahan dan dengan itu mencegah komplikasi jantung utama.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 47 kajian yang diterbitkan sehingga Mei 2017. Kajian-kajian ini melibatkan 17,039 orang dewasa yang menjalani pembedahan major. Dua puluh empat kajian melibatkan 2672 orang dewasa yang menjalani pembedahan jantung. Dua puluh tiga kajian melibatkan 14,367 orang dewasa yang menjalani pembedahan major selain pembedahan jantung. Empat puluh kajian membandingkan agonis adrenergik alfa-2 dengan rawatan palsu (plasebo). Tujuh kajian selebihnya membandingkannya dengan ubat lain. Dua puluh satu kajian mengkaji ubat agonis adrenergik alfa-2 yang dipanggil clonidine, 24 kajian mengkaji satu lagi ubat yang dipanggil dexmedetomidine dan dua kajian mengkaji ubat yang dipanggil mivazerol. Tempoh ubat agonis adrenergik alfa-2 dikaji berbeza dari satu dos sebelum pembedahan sehingga tiga hari rawatan. Kebanyakan orang yang mengambil bahagian dalam kajian-kajian ini adalah lelaki, dan usia purata mereka ialah 60 hingga 70 tahun. Empat belas kajian melaporkan menerima wang dari syarikat yang mengeluarkan ubat yang diuji dalam kajian yang sama. Lima belas kajian lagi tidak melaporkan dari mana mereka menerima wang yang diperlukan untuk membiaya kajian. Bilangan orang yang mengambil bahagian dalam setiap kajian berbeza-beza di antara 20 peserta hingga ke seramai 10,000 peserta. Sembilan belas kajian yang disertakan mempunyai lebih 100 peserta.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa agonis adrenergik alfa-2 secara umumnya tidak mempunyai manfaat yang jelas untuk mencegah kematian atau komplikasi major selepas pembedahan. Bagi orang yang menjalanii pembedahan major selain daripada pembedahan jantung, agonis adrenergik alfa-2 tidak menurunkan peluang mereka mati, mendapat serangan jantung atau mendapat strok selepas pembedahan. Kami tidak mendapati bukti yang cukup bahawa, bagi orang yang menjalani pembedahan jantung, adrenergik alfa-2 menurunkan risiko mati atau mengalami serangan jantung selepas pembedahan. Terdapat bukti yang sangat terhad bahawa ubat-ubatan ini boleh mencegah strok selepas pembedahan jantung. Walau bagaimanapun, lebih banyak penyelidikan diperlukan sebelum kita dapat meyakini bahawa agonis adrenergik alfa-2 benar-benar mempunyai manfaat ini. Ubat-ubatan ini juga mempunyai beberapa kesan sampingan yang penting. Orang yang menerima agonis adrenergik alfa-2 lebih cenderung mempunyai tekanan darah rendah atau kadar jantung rendah semasa atau selepas pembedahan.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti semua kajian yang dikenalpasti menggunakan alat khusus yang dikenali sebagai kriteria GRADE. Secara umum, kami mendapati bahawa kebanyakan bukti dalam kajian-kajian ini adalah berkualiti sederhana atau tinggi. Oleh itu, berdasarkan keputusan kami, kami yakin bahawa agonis adrenergik alfa-2 tidak membantu mengurangkan jumlah kematian atau komplikasi jantung major daripada berlaku selepas pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong Chun Hoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save