Soalan ulasan
Adakah rawatan ubat tripanosida berkesan untuk penyakit Chagas simptomatik peringkat lewat dan kardiomiopati chagasik kronik (CCC)?
Latar belakang
Jangkitan dengan parasit Trypanosoma cruzi menyebabkan trypanosomiasis Amerika, atau penyakit Chagas. Bukti menunjukkan rawatan ubat tripanosida, menggunakan sebatian nitrofuran dan imidazole, boleh menyembuhkan jangkitan trypanosomiasis cruzi akut. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas sama ada rawatan ini berkesan untuk penyakit Chagas simptomatik peringkat lewat dan CCC.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari literatur perubatan untuk kajian klinikal rawak terkawal pembutaan ganda dengan atau tanpa plasebo (rawatan palsu) hingga November 2019. Kajian rawak terkawal adalah kajian yang mana peserta dibahagikan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak. Dalam kajian pembutaan ganda, peserta dan penyelidik tidak mengetahui siapa yang menerima rawatan tertentu.
Keputusan utama
Kami menemui dua kajian yang melihat kepada rawatan jangkitan Typanosoma cruzi kronik (penyakit Chagas simptomatik peringkat lewat dan CCC) dengan ubat-ubatan tripanosida benznidazole dan nifurtimox. Selepas mengulas bukti yang terhad ini, kami menyimpulkan bahawa ia tidak mencukupi untuk menyokong rawatan dengan ubat-ubatan ini.
Kepastian tentang bukti
Kepastian tentang bukti antara rendah ke sangat rendah kerana jumlah kajian yang disertakan adalah kecil dan jumlah peserta terhad. Oleh itu lebih banyak kajian klinikal diperlukan untuk menilai kesan dan keberkesanan ubat-ubatan tripanosida dalam penyakit Chagas simptomatik peringkat lewat dan CCC.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norsarwany Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my