Terapi psikologi bagi perawatan sakit kronik dan berulang di kalangan kanak-kanak dan remaja

Kesimpulannya

Terapi psikologi dapat mengurangkan kekerapan kesakitan dengan cepat selepas rawatan bagi kanak-kanak dan remaja yang mengidap sakit kepala kronik dan mengurangkan tahap kesakitan untuk kanak-kanak dan remaja yang mengidap sakit kronik yang bercampur. Terapi psikologi juga dapat mengurangkan ketidakupayaan bagi kanak-kanak dan remaja yang mempunyai sakit kronik yang bercampur dengan cepat selepas rawatan dan sehingga 12 bulan selepas itu, dan bagi kanak-kanak yang mengidap sakit kepala sehingga selepas 12 bulan.

Latar belakang

Sakit kronik adalah kesakitan yang berterusan lebih dari tiga bulan adalah lazim di kalangan orang muda. Terapi psikologi (contoh, relaksasi, hipnosis, kemahiran menghadapi masalah, maklum balas biologi, dan terapi tingkah laku kognitif) mungkin dapat membantu pesakit mengawal kesakitan dan ketidakupayaan yang disebabkan olehnya. Terapi-terapi boleh disampaikan secara persendirian oleh ahli terapi, melalui internet, menerusi panggilan telefon, ataupun dengan program komputer. Ulasan ini memberi fokus kepada rawatan-rawatan yang disampaikan secara persendirian oleh ahli terapi, yang meliputi terapi-terapi yang disampaikan melalui telefon atau dengan buku yang mengandungi bimbingan senaman. Bagi kanak-kanak dan remaja, terdapat bukti yang relaksasi tersendiri dan terapi tingkah laku kognitif (rawatan yang membantu orang menguji dan menyemak semula pemikiran dan tindak tanduk mereka) adalah berkesan dalam mengurangkan tahap kesakitan sakit kepala kronik, kesakitan abdominal yang berulang, ‘fibromyalgia’, dan penyakit sel sabit sebaik selepas rawatan.

Ciri-ciri Kajian

Ulasan melibatkan 47 kajian dengan 2884 peserta. Purata umur kanak-kanak dan remaja adalah 12.6 tahun. Kebanyakan kajian melibatkan orang muda yang mengidap sakit kepala (23 kajian) atau sakit perut (10 kajian). Kajian selebihnya mengkaji kanak-kanak yang menghidapi ‘irritable bowel syndrome (IBS) atu usus sensitif, ‘fibromyalgia’ atau sakit sakit otot, sakit rahang, penyakit sel sabit, radang usus, dan juga termasuk subjek yang mempunyai berbagai keadaan sakit kronik.

Keputusan utama

Terapi-terapi psikologi mengurangkan kekerapan kesakitan dengan cepat selepas rawatan bagi kanak-kanak dan remaja yang menghidap sakit kepala kronik, juga mengurangkan tahap kesakitan dan kebimbangan bagi kanak-kanak dan remaja yang menghidapi keadaan sakit kronik yang lain. Terapi-terapi psikologi juga mengurangkan ketidakupayaan bagi kanak-kanak dan remaja yang mempunyai keadaan sakit kronik (bukan sakit kepala) serta merta selepas rawatan dan bagi kanak-kanak yang menghidapi sakit kepala dan keadaan sakit kronik yang bercampur sehingga selepas 12 bulan. Kami tidak menemui apa-apa faedah rawatan psikologi ke atas pengurangan kebimbangan bagi kanak-kanak yang menghidapi sakit kepala ataupun kemurungan dikalangan kanak-kanak yang menghidapi sakit kepala ataupun sakit kronik yang bercampur.

Kualiti bukti

Kami dapati kesemua hasil berkualiti rendah atau sangat rendah, bermakna keyakinan kami terhadap kesan yang dilaporkan adalah terhad: kesan sebenar mungkin mempunyai perbezaan yang ketara daripada kesan yang dianggarkan atau kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah pada anggaran kesan; atau kesan sebenar kemungkinan besar sangat berbeza dari kesan anggaran.

Nota terjemahan: 

Nota terjemahan CD003968.pub5. Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save