Tacrolimus adalah lebih unggul daripada cyclosporin dalam memperbaiki kemandirian graft dan mencegah penolakan akut selepas pemindahan buah pinggang, tetapi meningkatkan diabetes lepas pemindahan dan kesan sampingan yang lain

Pemindahan buah pinggang adalah rawatan pilihan bagi kebanyakan pesakit dengan penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD). Strategi untuk meningkatkan ketersediaan penderma organ dan untuk memanjangkan kemandirian buah pinggang telah menjadi keutamaan dalam pemindahan buah pinggang. Terapi piawai imunosupresif terdiri daripada rawatan awal dan rejim penyelenggaraan untuk mencegah penolakan dan terapi imunosupresif jangka pendek yang lebih intensif untuk merawat episod penolakan yang akut. Ulasan ini membandingkan tacrolimus dengan cyclosporin yang digunakan sebagai imunosupresi utama untuk penerima pemindahan buah pinggang. Tiga puluh kajian (4102 pesakit) disertakan. Tacrolimus adalah lebih unggul daripada cyclosporin dalam meningkatkan kemandirian graft dan mencegah penolakan akut selepas pemindahan buah pinggang, tetapi meningkatkan diabetes lepas pemindahan, kesan sampingan neurologi dan gastrousus. Tiada maklumat yang cukup untuk menilai kos tacrolimus berbanding dengan cyclosporin, dan terdapat kegagalan umum untuk mempertimbangkan kualiti hidup (QOL) global bagi penerima pemindahan yang boleh memaklumkan kefahaman kami tentang keutamaan pesakit dan komplians.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save