Pengambilan protein lebih tinggi berbanding lebih rendah bagi bayi dengan berat lahir rendah yang diberi susu formula

Soalan ulasan

Adakah memberi bayi pramasa atau berat lahir rendah (< 2.5 kilogram) protein lebih tinggi semasa awal tinggal di hospital memperbaiki hasil pertumbuhan dan perkembangan?

Latar belakang

Bayi membesar dengan cepat dan memerlukan lebih banyak protein untuk setiap kilogram berat badan berbanding kanak-kanak dan orang dewasa. Bayi yang lahir dengan berat-lahir rendah, contohnya, yang lahir pramatang, memerlukan lebih protein kerana kadar pertumbuhan mereka yang cepat.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti enam kajian yang layak dengan sejumlah 218 bayi melalui carian yang dikemas kini sehingga 2 Ogos 2019.

Keputusan utama

Pengambilan protein lebih tinggi (3 hingga 4 berbanding kurang daripada 3 gram protein per kilogram) menghasilkan penambahan berat yang sedikit lebih tinggi, kira-kira 2 gram per kilogram sehari. Kami tidak pasti sama ada perbezaan pengambilan protein ini mempengaruhi pertumbuhan kepala dan panjang kerana tidak banyak bayi yang dikaji. Penyelidikan sedia ada menyokong cadangan khusus tentang formula dengan kandungan protein yang menyediakan lebih daripada 4 g/kg/hari. Tiada kesan bahaya yang dilihat.

Kepastian bukti

Ulasan adalah terhad dalam kesimpulan yang dibuat kerana perbezaan dalam kandungan protein di antara kumpulan dalam kajian individu adalah kecil dan formula berbeza secara signifikan di antara kajian; sesetengah kajian menyertakan bayi pramasa yang lebih sihat dan lebih matang. Maklumat hasil jangka panjang adalah terhad.

Nota terjemahan: 

Diterjema oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information