Persediaan Valproate untuk rawatan tingkah laku agitasi dalam kalangan orang dengan demensia

Latar belakang

Tingkah laku agitasi adalah lazim di peringkat lanjutan demensia. Ini termasuklah tingkah laku lisan, seperti menjerit, dan tingkah laku fizikal, seperti merayau atau langsangan fizikal. Hal ini memburukkan lagi tekanan yang dialami oleh penjaga keluarga, meningkatkan risiko kecederaan, dan meningkatkan keperluan bagi orang dengan demensia untuk ditempatkan ke dalam institusi penjagaan.

Satu jenis ubat yang telah digunakan untuk merawat tingkah laku agitasi dalam kalangan orang dengan demensia ialah valproate, yang terdapat pelbagai persediaan (asid valproic, natrium divalproex, natrium valproat, dan semi-natrium valproat). Ubat-ubat ini tidak disyorkan dalam garis panduan terkini (misalnya dari Institut Kebangsaan Cemerlang untuk Kesihatan dan Penjagaan), tetapi kadang-kadang masih diberi kepada orang dengan demensia untuk merawat tingkah laku agitasi.

Tujuan ulasan

Kami ingin mengulas bukti tentang keberkesanan dan keselamatan persediaan valproate yang tersedia kepada orang dengan demensia untuk merawat agitasi.

Kajian-kajian yang dimasuki dalam ulasan ini

Kami mencari pangkalan data perubatan sehingga Disember 2017 untuk kajian-kajian yang membandingkan sebarang persediaan valproate dengan plasebo (tablet dummy) untuk merawat tingkah laku agitasi dalam kalangan orang yang didiagnosis dengan demensia.

Kami memasukkan lima kajian dengan 479 peserta dengan pelbagai jenis demensia dan tingkah laku agitasi. Kebanyakan kajian berlangsung selama enam minggu, walaupun salah satu hanya berlangsung selama tiga minggu sahaja. Kajian-kajian ini secara amnya dijalankan dengan baik, namun kaedah-kaedah tidak selalu dilaporkan dengan sepenuhnya dan satu kajian berisiko bias tinggi kerana bilangan banyak orang yang tercicir daripada kumpulan yang diberi rawatan valproate.

Penemuan utama

Kajian-kajian mengukur tingkah laku agitasi dengan pelbagai skala dan kebolehpercayaan bukti bagi skala yang berbeza-beza adalah dari sederhana hingga sangat rendah. Secara keseluruhan, kami mendapati tiada bukti bahawa persediaan valproate memperbaiki tingkah laku, atau khususnya, tingkah laku agitasi. Kami mendapati bahawa persediaan valproate mungkin ada sedikit atau tiada kesan kepada keupayaan peserta untuk melakukan aktiviti harian. Kami tidak dapat memastikan sama ada ubat ini mendatangkan kesan kepada kognisi (berfikir dan mengingat) kerana kebolehpercayaan bukti sangat rendah.

Kami mendapati bukti kebolehpercayaan rendah daripada tiga kajian bahawa peserta yang mengambil valproate lebih mungkin untuk mengalami kesan yang berbahaya berbanding mereka yang mengambil plasebo. Kami tidak dapat pastikan perbezaan dalam bahaya yang serius, seperti penyakit serius atau kemasukan ke hospital, tetapi data dari dua kajian mencadangkan bahawa kesan ini mungkin lebih lazim dalam kalangan peserta yang mengambil valproate. Beberapa kesan sampingan yang berkait dengan valproate adalah mengantuk, rasa sakit, sakit, najis berair, dan jangkitan saluran kencing.

Kesimpulan

Kami hanya dapat mengenal pasti lima kajian yang agak kecil untuk dimasukkan ke dalam ulasan ini. Kajian-kajian berbeza dalam kaedah, jenis ubat dan dos, tempoh rawatan, dan skala yang diguna untuk membuat ukuran. Hal ini mengehadkan keupayaan kami untuk menggabung data dari kajian-kajian. Walau bagaimanapun, kami sederhana yakin dengan kesimpulan bahawa persediaan valproate tidak memperbaiki tingkah laku agitasi dalam demensia. Ia juga mungkin dikaitkan dengan kesan berbahaya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com).

Tools
Information
Share/Save