Antidepresan untuk merawat kemurungan dalam demensia

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan antidepresan terhadap kemurungan dalam kalangan orang dengan demensia.

Latar belakang

Kemurungan boleh menjadi sukar untuk dikenali dalam kalangan orang dengan demensia, tetapi terdapat bukti bahawa ia adalah lazim dan dikaitkan dengan peningkatan ketakupayaan, kualiti hidup yang lebih buruk, dan jangka hayat yang lebih pendek. Ramai orang dengan demensia diberi antidepresan untuk merawat kemurungan, tetapi terdapat ketidakpastian tentang keberkesanannya.

Ulasan ini mengemaskini versi terdahulu, yang pertama kali diterbitkan pada 2002.

Tarikh carian

Kami mencari sehingga Ogos 2017 untuk kajian yang relevan.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati sepuluh kajian dengan 1592 orang untuk dimasukkan ke dalam ulasan. Secara purata, kajian berlangsung selama 12 minggu, walaupun satu kajian berlangsung selama sembilan bulan. Setiap daripada kajian tersebut menggunakan satu set kriteria formal untuk mendiagnosis kedua-dua kemurungan dan demensia dan membandingkan antidepresan dengan plasebo.

Kajian yang lebih lama menggunakan lebih banyak antidepresan lama (imipramine, clomipramine, dan moclobemide) dan kajian-kajian yang lebih baharu menggunakan ubat yang lebih moden, seperti venlafaxine, mirtazapine dan antidepresan SSRI (sertraline, fluoxetine, citalopram dan escitalopram).

Orang yang mengambil bahagian dalam kajian mempunyai usia purata 75 dan mereka mempunyai demensia ringan atau sederhana. Mereka dianggap sebagai pesakit luar kecuali dalam dua kajian.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam skor skala depresi kemurungan di antara orang yang dirawat dengan antidepresan dan mereka yang dirawat dengan plasebo selama 12 minggu. Bukti untuk menyokong penemuan ini adalah berkualiti tinggi, yang menunjukkan bahawa penyelidikan lebih lanjut tidak mungkin mendapat keputusan yang berbeza. Terdapat juga sedikit atau tiada perbezaan selepas enam hingga sembilan bulan rawatan.

Satu cara lain untuk menilai kesan antidepresan adalah untuk mengira bilangan orang dalam kumpulan antidepresan dan plasebo yang menunjukkan penambaikan klinikal (respon) yang penting atau yang pulih dari kemurungan (remisi). Terdapat bukti yang berkualiti rendah mengenai bilangan orang yang menunjukkan penambahbaikan klinikal yang ketara dan hasil adalah tidak tepat sehingga kami tidak dapat memastikan sebarang kesan bagi langkah ini. Orang yang mengambil antidepresan mungkin lebih cenderung untuk pulih dari kemurungan daripada mereka yang mengambil plasebo (antidepresan: 40%, plasebo: 21.7%). Terdapat kualiti bukti yang sederhana untuk penemuan ini, oleh itu penelidikan lanjut mungkin dapat mencari keputusan yang berbeza.

Kami mendapati antidepresan tidak menjejaskan keupayaan untuk menguruskan aktiviti harian dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas ujian fungsi kognitif (termasuk perhatian, memori, dan bahasa).

Orang yang mengambil antidepresan mungkin lebih cenderung untuk berhenti rawatan dan mempunyai sekurang-kurangnya satu kesan sampingan yang tidak diingini.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah berbeza-beza, terutamanya disebabkan oleh kajian yang tidak dijalankan dengan baik dan masalah relevan dengan langkah-langkah hasil yang digunakan. Ini harus dipertimbangkan apabila mentafsirkan keputusan yang berbeza pada skala penarafan kemurungan dan kadar pemulihan, kerana kualiti bukti adalah yang lebih tinggi untuk yang terdahulu daripada yang terkemudian.

Satu lagi masalah utama ialah kesan sampingan sangat jarang dilaporkan dalam kajian-kajian.

Oleh itu, penyelidikan lanjut masih berguna untuk mencapai kesimpulan yang lebih dipercayai dan boleh membantu doktor dan pesakit untuk mengetahui apa yang berkesan untuk mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information