Tindakan untuk mengurangkan kesilapan ubat pada orang dewasa dalam penjagaan primer

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui cara terbaik untuk mengurangkan kesilapan perubatan oleh profesional penjagaan kesihatan utama di pesakit dewasa yang membawa kepada kemasukan hospital, lawatan jabatan kecemasan, dan kematian. Penyelidik ingin tahu sama ada dengan mensasarkan profesional kesihatan individu (contohnya dengan bahan pendidikan dan peringatan tentang dos ubat dsb.), dapat mengubah organisasi penjagaan primer (contohnya menyemak semula peranan profesional seperti preskripsi jururawat atau farmasi, dll.), atau tindakan struktur, seperti menganjurkan perkhidmatan pemantauan kualiti dapat mengurangkan kesilapan perubatan oleh profesional penjagaan kesihatan utama. Penyelidik mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan mendapati terdapat 30 kajian.

Mesej utama

30 kajian (169,969 peserta) dalam ulasan Cochrane ini menunjukkan bahawa tindakan yang bertujuan untuk mengurangkan kesilapan perubatan, seperti semakan ubat-ubatan oleh ahli farmasi atau doktor mungkin sedikit atau tiada perbezaan terhadap bilangan orang yang dimasukkan ke hospital, bilangan kemasukan hospital, bilangan lawatan jabatan kecemasan, atau kematian. Secara umumnya, semua tindakan yang dijelaskan dalam ulasan ini didapati mempunyai faedah yang tidak jelas. Penyelidik tidak menemui sebarang kajian yang memenuhi kriteria tindakan struktur. Batasan utama kajian ini adalah bilangan kajian kecil yang menangani setiap kaedah dan kepastian bukti yang rendah.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Ubat-ubatan preskripsi adalah salah satu alat yang paling berkuasa untuk pengamal umum (GP) dalam pencegahan dan rawatan penyakit. Kesan sampingan yang berkaitan dengan ubat-ubatan boleh menjadi akibat daripada orang mengalami kesan sampingan ubat (biasanya tidak dapat dicegah) atau sebagai akibat dari kesalahan perubatan (biasanya boleh dicegah). Penyelidik mengkaji keberkesanan kaedah profesional dan organisasi berbanding dengan penjagaan piawaian dalam penjagaan primer (contoh penjagaan primer termasuklah amalan umum, farmasi komuniti, rumah pesakit, tetapan komuniti, klinik pesakit luar dan kemudahan penjagaan lanjut) untuk mengurangkan kesilapan perubatan yang boleh dicegah yang membawa kepada kemasukan hospital, lawatan jabatan kecemasan, dan kematian orang dewasa yang diberi ubat dalam rawatan primer.

Apakah keputusan utama ulasan?

Penyelidik melibatkan 30 kajian dalam analisis mereka. Penyelidik mengklasifikasikan 26 kajian sebagai organisasi dan baki empat sebagai tindakan profesional. Penyelidik tidak menemui sebarang tindakan struktur dalam pencarian mereka. Kajian-kajian yang termasuk dalam ulasan Cochrane ini menunjukkan bahawa berdasarkan kepastian bukti sederhana dan rendah, tindakan dalam penjagaan primer untuk mengurangkan kesilapan ubat-ubatan yang boleh dicegah mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang yang dimasukkan ke hospital atau jumlah hospital, jabatan kecemasan lawatan, atau kematian. Kebanyakan kajian berlaku di UK dan Amerika Syarikat; kajian yang dijalankan di negara berpendapatan tinggi dengan penduduk yang kurang bernasib baik, dan di negara berpendapatan rendah dan sederhana, kurang diwakili. Ini mungkin menjejaskan generalisasi keputusan.

Kepastian bukti

Penyelidik mendapati kepastian bukti keseluruhan untuk tindakan profesional untuk bervariasi dengan banyak di antara hasil yang dilaporkan: kepastian sederhana untuk bilangan kemasukan hospital, kepastian tinggi untuk bilangan orang yang dimasukkan ke hospital, kepastian yang rendah untuk bilangan lawatan kecemasan, dan kepastian sederhana untuk kematian. Kepastian bukti untuk tindakan organisasi adalah kurang berbeza: kepastian yang sangat rendah untuk bilangan kemasukan hospital, kepastian yang rendah untuk bilangan orang yang dimasukkan ke hospital, dan kepastian yang sangat rendah untuk bilangan lawatan kecemasan dan kematian.

Lebih banyak kerja perlu dilakukan dalam meningkatkan kualiti kajian berkenaan pemilihan peserta dan "blinding" peserta yang mencukupi dan penilai kajian. Peserta yang berhenti dari kajian itu adalah satu lagi kebimbangan mengenai kepastian bukti. Pembiayaan kajian yang termasuk datang dari pelbagai sumber dan sukar untuk menentukan sama ada pembiayaan itu mempengaruhi hasil kajian.

Adakah ulasan ini terkini?

Penyelidik telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga ke 4 Oktober 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information