Persenyawaan dalam rahim yang berganda berbanding tunggal untuk pasangan kurang subur

Soalan ulasan: Pengarang Cochrane mengulas bukti mengenai kesan persenyawaan dalam rahim yang berganda berbanding tunggal untuk pasangan kurang subur (pasangan yang telah cuba mengandung sekurang-kurangnya untuk satu tahun).

Latar belakang: untuk pasangan yang telah berusaha mengandung untuk sekurang-kurangnya satu tahun cara yang biasa untuk mendorong kehamilan adalah menempatkan sperma terus ke dalam rahim dan oleh itu dekat dengan mana-mana telur. Ini digabungkan dengan ubat kesuburan untuk merangsang pembebasan telur (IUI dengan rangsangan ovari). Persenyawaan ini kurang tekanan, invasif dan mahal berbanding persenyawaan in vitro (di mana telur digabungkan dengan sperma di luar badan) dan prosedur serupa. Ia sering digunakan ketika pasangan lelaki kurang subur, ataupun ketika sebab untuk tidak hamil tidak diketahui. Umumnya, IUI dilakukan sekali dalam kitaran haid, namun kadang-kadang dilakukan dua kali (IUI berganda). Ujian klinikal yang berbeza mencapai kesimpulan yang berbeza sama ada IUI berganda menyebabkan lebih banyak kehamilan daripada IUI tunggal.

Ciri-ciri kajian: kami menemui sembilan kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta-peserta dimasukkan secara rawak dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) membandingkan IUI berganda dengan IUI tunggal dengan 2751 wanita. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2020.

Keputusan utama : analisis utama kami, yang mana bukti dinilai sebagai berkualiti rendah, menunjukkan bahawa kami tidak pasti jika IUI berganda meningkatkan kelahiran hidup dan mengurangkan keguguran berbanding IUI tunggal. Bukti menyarankan bahawa jika peluang kelahiran hidup berikutan IUI tunggal ialah 16%, maka peluang kelahiran berikutan IUI berganda adalah antara 12% dan 27%. Bukti mencadangkan bahawa jika kemungkinan keguguran berikutan IUI tunggal adalah 1.5%, kemungkinan berikutan IUI berganda adalah antara 1.5% dan 5%. Melakukan analisis dengan kajian berkualiti tinggi menunjukkan keputusan yang serupa untuk kedua-dua hasil. Kadar kehamilan boleh meningkat dengan IUI berganda. Keputusan ini perlulah ditafsir dengan berhati-hati kerana kualiti bukti yang rendah. Bukti mencadangkan bahawa jika kemungkinan keguguran berikutan IUI tunggal adalah 14% dan kemungkinan berikutan IUI berganda adalah antara 16% dan 23%. Namun, ketika kami menganalisis hanya dengan kajian berkualiti tinggi, kesan positif IUI berganda telah hilang dan kami tidak lagi melihat peningkatannya lagi.

Kami tidak pasti sama ada IUI berganda mengurangkan kadar kehamilan berganda (dua atau lebih janin) dan ektopik (di mana telur yang disenyawakan tertanam di luar rahim, biasanya di salah satu tiub yang menghubungkan ovari dan rahim) berbanding dengan IUI tunggal. Bukti mencadangkan bahawa jika peluang kehamilan kembar berikutan IUI tunggal adalah 0.7%, maka peluang berikutan IUI berganda adalah antara 0.7% dan 3.2%. Bukti mencadangkan bahawa jika peluang kehamilan ektopik berikutan IUI tunggal adalah 0.8% dan peluang berikutan IUI berganda adalah antara 0.3% dan 3.2%.

Kualiti bukti: bukti adalah berkualiti rendah. Batasan utama dalam bukti adalah risiko bias yang tidak jelas dan kajian kecil dengan keputusan yang tidak tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oeh Melvin Hoo. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information