Terapi antikolinergik untuk asma akut dalam kanak-kanak

Asma adalah satu keadaan yang mempengaruhi saluran pernafasan (tiub yang membawa udara masuk dan keluar dari paru-paru). Apabila terjadi serangan asma, saluran udara menjadi sempit dan ubat-ubatan boleh diambil untuk membuka, atau meluaskan kembali saluran udara ini. Bronkodilator (ubat yang digunakan untuk membuka saluran udara) yang lazim digunakan dan berkesan dalam jangka masa yang pendek ialah beta2- agonis yang (cth: salbutamol) atau antikolinergik (cth: ipratropium bromide). Dalam kajian ini, kami meneliti samada penggunaan sedutan antikolinergik semasa serangan asma di kalangan kanak-kanak berumur dua tahun ke atas adalah lebih berkesan berbanding dengan penggunaan plasebo atau bronkodilator lain. Kami juga melihat kombinasi campuran antikolinergik dan beta2-agonis berbanding dengan hanya antikolinergik sahaja.

Kami menemui enam kajian kecil yang kualitinya tidak begitu jelas bagi menjawab dua soalan ini. Kami menemui data daripada empat kajian ke atas 171 kanak-kanak yang membandingkan antikolinergik dengan beta2-agonis. Kanak-kanak yang mengambil antikolinergik sahaja berkemungkinan mengalami kegagalan rawatan yang lebih signifikan berbanding mereka yang mengambil beta2-agonis (nisbah ‘odd’ / ‘odd ratio’ (OR) 2.27; 95% CI 1.08 - 4.75). Kami juga menemui data daripada empat kajian ke atas 173 kanak-kanak yang membandingkan kanak-kanak yang mengambil antikolinergik sahaja dengan kanak-kanak yang mengambil campuran antikolinergik dan beta2-agonis. Dalam kes ini, kegagalan rawatan adalah lebih banyak di kalangan kanak-kanak yang mengambil antikolinergik sahaja berbanding jika mereka menggabungkan dengan beta2-agonis (OR 2.65; 95% CI 1.2 - 5.88). Kami hanya dapat menggabungkan data untuk kegagalan rawatan dan kemasukan ke hospital sahaja.

Kesimpulannya, kami mendapati sedutan antikolinergik yang digunakan secara tersendiri adalah kurang berkesan berbanding dengan sedutan beta2-agonis yang digunakan secara tersendiri atau digabungkan dengan antikolinergik. Sedutan antikolinergik selamat, tanpa kesan sampingan yang signifikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Di sunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save