Posisi untuk bayi dan kanak-kanak yang mengalami masalah pernafasan akut di hospital

Soalan ulasan

Kami menyiasat sama ada terdapat perbezaan dapatan untuk bayi dan kanak-kanak kecil dengan sindrom gangguan pernafasan akut (ARDS) pada pengudaraan buatan di posisi berbaring atas perut mereka (kedudukan meniarap), berbanding berbaring telentang (kedudukan terlentang), atau mengereng.

Latar belakang

ARDS adalah salah satu punca paling kerap kemasukan ke hospital dan kematian kepada bayi dan kanak-kanak di seluruh dunia. Apabila kanak-kanak yang mengalami masalah pernafasan teruk dimasukkan ke hospital, rawatan mungkin termasuk oksigen tambahan, dengan atau tanpa bantuan pengudaraan. Percubaan untuk meningkatkan pengoksigenan ini boleh merosakkan paru-paru. Bayi dan kanak-kanak yang mengalami masalah pernafasan yang diletakkan pada posisi tertentu mungkin lebih selesa, bernafas lebih mudah dan mempunyai dapatan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, kedudukan yang berbeza juga boleh meningkatkan risiko kesan buruk, seperti halangan pada tiub endotrakeal (tiub yang menghubungkan orang itu ke ventilator), dan ekstubasi tidak sengaja (pembuangan tiub). Untuk mengetahui sama ada ini berlaku, kami mencari kajian untuk mengenal pasti kajian rawak terkawal (RCT) dan kuasi-RCT yang membandingkan dua atau lebih posisi badan untuk menguruskan bayi dan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dengan ARDS.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 26 Julai 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan enam kajian, dengan sejumlah 198 peserta berumur daripada empat minggu hingga 16 tahun. Majoriti menggunakan ventilator mekanikal. Masa intervensi berjulat dari 15 minit selepas kanak-kanak itu ditempatkan di katil hospital, hingga maksimum tujuh hari sepanjang tempoh intervensi. Hanya sebilangan kecil (n = 15) kanak-kanak tidak mendapat bantuan pernafasan.

Sumber pembiayaan kajian

Kajian yang terlibat dalam ulasan ini disokong oleh agensi awam.

Keputusan utama

Berbaring atas perut mereka nampaknya meningkatkan penggunaan oksigen (indeks oksigenasi ialah keperluan oksigen tambahan berbanding tahap oksigen kanak-kanak) berbanding berbaring telentang. Penemuan ini berdasarkan data daripada tiga kajian dengan 141 kanak-kanak. Hanya satu kajian dengan 102 kanak-kanak melaporkan kesan buruk, yang tidak berbeza antara kedua-dua posisi. Satu kajian dengan 50 kanak-kanak membandingkan baring di belakang mereka dengan posisi lain, dan tidak dapat menunjukkan perbezaan yang konsisten dalam pengoksigenan darah. Tidak ada maklumat yang mencukupi untuk membuat sebarang kesimpulan tentang faedah dan kemudaratan sebarang posisi pada bayi dan kanak-kanak yang mengalami masalah pernafasan akut.

Adalah penting untuk diingat bahawa kanak-kanak ini telah dimasukkan ke hospital, dan menggunakan bantuan pernafasan. Kerana perkaitan antara berbaring di perut mereka dan SIDS, kanak-kanak tidak boleh diletakkan atas perut mereka melainkan mereka berada di hospital, dan pernafasan mereka sentiasa dipantau.

Kepastian bukti

Penemuan ulasan ini terhad oleh bilangan kecil kajian yang dikenal pasti, lima daripadanya mempunyai kurang daripada 40 peserta; tempoh singkat intervensi; dan kekurangan penerangan tentang cara pengarang kajian menangani risiko berat sebelah dalam kajian mereka. Secara keseluruhan, kami tidak pasti bagaimana posisi berbeza mempengaruhi dapatan utama kami, seperti tahap pengoksigenan. Ini bermakna penyelidikan masa depan diperlukan untuk meningkatkan kepastian dapatan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information