Kortikosteriod sebagai rawatan untuk jangkitan denggi di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Denggi merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus bawaan nyamuk, banyak berlaku di negara-negara yang mempunyai sumber terhad, dan yang paling teruk terjejas adalah kanak-kanak. Kebanyakan pesakit akan sembuh dengan menunjukkan sedikit simptom, tetapi sebahagian kecil akan mendapat denggi yang teruk dan berkemungkinan akan mati. Tidak ada sebarang rawatan spesifik untuk denggi, tetapi sesetengah doktor akan memberikan kortikosteriod semasa peringkat awal untuk mengelakkan daripada menjadi penyakit denggi teruk; dan sesetengahnya pula akan merawat renjatan kerana denggi dengan kortikosteriod untuk meningkatkan kadar kemandirian. Rumusan berkenaan kesan-kesan kortikosteriod ke atas denggi adalah penting.

Kami melakukan pencarian sehingga 6 Januari 2014 dengan memasukkan lapan kajian yang melibatkan sejumlah 948 peserta. Empat kajian tentang penggunaan kortikosteriod untuk merawat renjatan yand disebabkan denggi telah dibuat untuk melihat samada kortikosteriod mampu meningkatkan kadar kemandirian, tetapi semua kajian ini adalah kecil dan sudah berusia lebih daripada 20 tahun. Kualiti petunjuk yang kami jumpa adalah amat rendah dan tidak memberikan sebarang bukti kukuh tentang penggunaan kortokosteriod untuk merawat renjatan kerana denggi. Empat ujikaji telah menilai samada penggunaan kortikosteriod semasa peringkat awal jangkitan denggi mampu mencegah daripada komplikasi denggi teruk. Ujikaji-ujikaji ini lebih terkini, tetapi data adalah tidak mencukupi untuk memastikan samada kortikosteriod mempunyai kesan kepada perkembangan penyakit.

Kesimpulan penulis: 

Bukti daripada kajian-kajian yang menggunakan kortikosteriod untuk denggi masih boleh dipertikaikan manakala kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah. Ini melibatkan tentang penggunaan kortikosteriod untuk renjatan kerana denggi dan juga semasa peringkat awal jangkitan denggi. Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menilai kesan-kesan kortokisteriod untuk rawatan semasa peringkat awal jangkitan denggi dan renjatan kerana denggi di luar daripada konteks ujikaji terkawal dan rawak.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Denggi merupakan penyakit virus bawaan nyamuk yang biasa dan penting. Ia adalah endemik dan merupakan masalah kesihatan masyarakat yang penting di dalam banyak negara berpendapatan rendah dan sederhana. Denggi teruk adalah punca utama kematian kanak-kanak. Tidak ada rawatan spesifik untuk denggi, tetapi kajian pemerhatian menunjukkan kortikosteriod mungkin berfaedah untuk renjatan berkaitan denggi, dan sesetengah orang percaya yang kortikosteriod mungkin boleh mencegah penyakit menjadi lebih teruk sekiranya diberikan semasa peringkat awal penyakit.

Objektif: 

Untuk membandingkan rawatan denggi samada menggunakan atau tidak menggunakan kortikosteriod atau placebo dalam mencegah kematian kerana renjatan serta perkembangan penyakit dalam kanak-kanak dan orang dewasa.

Strategi pencarian: 

Pencarian kami melibatkan Cochrane Infectious Disease Group Centralized Register, CENTRAL; MEDLINE; EMBASE; dan LILACS, sehingga 6 Januari 2014 Kami memeriksa senarai rujukan dan menghubungi penulis kajian yang berkenaan sekiranya perlu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kriteria pemilihan: 

Ujikaji terkawal dan rawak atau ujikaji kuasi-terkawal dan rawak membandingkan kortikosteriod dengan plasebo atau tanpa kortikosteriod di dalam pesakit yang didiagnos dengan renjatan kerana denggi, atau pesakit yang sedang di peringkat awal gelaja denggi dan positif ujian serologi.

Pengumpulan data dan analisis: 

Dua penyelidik secara bebas menapis kelayakan rekod, mengeluarkan data dan menilai kualiti kajian. Kami membentangkan penemuan di dalam analisis-meta dan ringkasan jadual penemuan dan menilai kualiti bukti menggunakan GRADE.

Keputusan utama: 

Kami memasukkan lapan penyelidikan dengan penglibatan 948 peserta di dalam kajian ini.

Pesakit yang mendapat renjatan kerana denggi

Empat kajian melibatkan kanak-kanak berumur kurang daripada 15 tahun dan mendapat renjatan kerana denggi di hospital-hospital di Asia Tenggara dan pemberian kortikosteriod secara intravena dinilai. Kajian-kajian ini tidak menunjukan kesan ke atas kematian (empat kajian, 284 peserta, kualiti data yang sangat rendah), keperluan untuk pemindahan darah (dua kajian, 89 peserta, kualiti data yang sangat rendah), pendarahan paru-paru (satu kajian, 63 peserta, kualiti data yang sangat rendah ), konvulsi (satu kajian, 63 peserta kualiti data yang sangat rendah), atau tempoh rawatan di hospital (satu kajia, 63 peserta, kualiti data yang sangat rendah ). Data yang ada adalah terlalu kecil untuk membuktikan atau menidakkan secara yakin kesan-kesan klinikal yang penting. Tambahan lagi, ujikaji-ujikaji ini sudah melebihi 20 tahun dan mempunyai isu-isu metodologi.

Pesakit yang megidap peringkat awal jangkitan denggi

Empat kajian melibatkan 664 kanak-kanak dan orang dewasa yang mengidap denggi pada peringkat awal jangkitan (tanpa renjatan) di Columbia, India, Sri Lanka dan Vietnam. Di golongan peserta-peserta ini, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan kesan pengambilan kortikosteriod secara oral atau intravena ke atas kematian (empat kajian, 664 peserta, kualiti data yang rendah ), atau kepada perkembangan kompilasi denggi yang teruk seperti renjatan (dua kajian, 286 peserta, kualiti data yang amat rendah), pendarahan teruk (dua kajian, 425 peserta, kualiti data yang amat rendah), thrombositopenia (satu kajian, 225 peserta, kualiti data yang amat rendah), asites (satu kajian, 178 peserta, kualiti data yang amat rendah) dan kemasukan ke unit rawatan terapi (ICU) (dua kajian, 86 peserta, kualiti data yang amat rendah).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Rafidah Hanim Shomiad @ Shueb (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi hanimkk@usm.my. Disunting oleh Nai Ming Lai (Taylor's University Lakeside Campus; lainm123@gmail.com).

Tools
Information
Share/Save