Penambahan asid lemak omega-3 ketika hamil

Apakah isunya?

Adakah pengambilan asid lemak omega-3 poli tak tepu (LCPUFA) ketika hamil - sama ada sebagai supplemen atau tambahan kepada diet dalam makanan (seperti beberapa jenis ikan) - akan meningkatkan kesihatan bayi dan ibu? Ini adalah kemaskini ulasan Cochrane yang pertama diterbitkan pada 2006.

Mengapakah ini penting?

Kelahiran pramatang (bayi dilahirkan sebelum minggu ke-37 kehamilan) adalah faktor utama kecacatan atau kematian dalam lima tahun pertama. Ikan dan minyak ikan yang mengandungi omega-3 LCPUFA (terutamanya docosahexaenoic acid (DHA) dan eicosapentaenoic acid (EPA)) telah dikaitkan dengan kehamilan yang lebih panjang. Oleh itu, dicadangkan bahawa penambahan omega-3 LCPUFA ketika hamil mampu mengurangkan bilangan kelahiran bayi pramatang dan meningkatkan kesihatan anak dan ibu. Walau bagaimanapun, kebanyakan ibu-ibu mengandung tidak memakan ikan dengan begitu kerap. Menggalakkan ibu mengandung memakan ikan berlemak (yang secara keseluruhannya mempunyai tahap toksin yang rendah) atau mengambil omega-3 LCPUFA supplemen mampu meningkatkan kesihatan anak dan ibu. Ini adalah kemaskini ulasan Cochrane yang pertama diterbitkan pada 2006.

Apakah bukit yang telah diperolehi oleh para penyelidik?

Para penyelidik mencari bukti-bukti kajian pada Ogos 2018 dan telah menjumpai 70 kajian rawak terkawal (RCTs; kajian dengan kaedah ini memberi keputusan yang paling meyakinkan) (melibatkan 19,927 wanita). Kebanyakan kajian mengkaji sekumpulan wanita yang mengambil omega-3 LCPUFA berbanding sekumpulan wanita yang mengambil sesuatu yang menyerupai omega-3 LCPUFA tetapi tidak mengandungi bahan tersebut (plasebo) atau tidak mengambil omega-3. Kajian-kajian tersebut kebanyakannya dijalankan di negara-negara berpendapatan pertengahan atas atau berpendapatan tinggi. Beberapa kajian melibatkan wanita yang berisiko tinggi bagi kelahiran pramatang. Kualiti bukti daripada kajian-kajian yang terlibat adalah antara tinggi dan sangat rendah; ini akan mempengaruhi keyakinan terhadap keputusan kajian bagi hasil yang berbeza.

Para penyelidik menjumpai insiden kelahiran pramatang (sebelum 37 minggu) dan sangat pramatang (sebelum 34 minggu) adalah rendah dalam kalangan ibu yang mengambil omega-3 LCPUFA berbanding tiada omega-3. Bilangan bayi lahir dengan kurang berat badan juga lebih rendah. Walau bagaimanapun, omega-3 LCPUFA berkemungkinan meningkatkan insiden kelahiran melebihi 42 minggu, meskipun tidak terdapat perbezaan dalam induksi bersalin bagi kehamilan lebih jangka. Risiko bayi meninggal dunia atau sangat sakit dan memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi neonatal mungkin rendah dengan omega-3 LCPUFA berbanding tiada omega-3. Para penyelidik tidak menjumpai sebarang perbezaan antara kedua-dua kumpulan dalam peristiwa sampingan yang teruk terhadap ibu atau terhadap kemurungan postnatal. Sangat sedikit perbezaan diperhatikan antara kumpulan penerima omega-3 LCPUFA dan kumpulan bukan penerima omega-3 dalam perkembangan dan tumbesaran anak-anak.

Sebelas kajian melaporkan telah menerima dana daripada industri. Apabila penyelidik mengeluarkan kajian-kajian ini daripada hasil utama (seperti kelahiran pramatang dan sangat pramatang), terdapat perbezaan yang sangat sedikit, atau tiada perbezaan, terhadap keputusan ulasan.

Apakah maksudnya?

Meningkatkan pengambilan omega-3 LCPUFA ketika hamil, sama ada melalui supplemen atau kandungan makanan, mampu mengurangkan insiden kelahiran pramatang (sebelum 37 minggu dan sebelum 34 minggu) dan ia juga mungkin mengurangkan kelahiran bayi kurang berat badan. Wanita yang mengambil omega-3 LCPUFA supplemen ketika hamil juga mungkin mengalami kehamilan yang lebih panjang. Beberapa kajian sedang dijalankan dan keputusan kajian tersebut akan disertakan dalam kemaskini ulasan pada masa hadapan. Kajian pada masa hadapan boleh mempertimbangkan sekiranya dan bagaimana hasil-hasil kajian boleh berbeza dalam populasi wanita yang berbeza, dan mencuba cara yang berbeza untuk meningkatkan omega-3 LCPUFA ketika hamil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nadiah Abdul Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nadiah@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save