Apakah bukti manfaat dan mudarat antikoagulan untuk kegagalan jantung?

Latar belakang

Apabila keupayaan jantung untuk mengepam darah berkurang, ia dipanggil kegagalan jantung (HF). Apabila ini berlaku, sesetengah orang akan mengalami masalah pembekuan darah yang teruk (dipanggil tromboembolisme) di paru-paru, kaki, dan otak. Ini berlaku kerana darah mengalir dengan lebih perlahan, keradangan meningkat, dan terdapat pengeluaran berlebihan molekul-molekul pembekuan. Klot darah boleh menyebabkan strok, kerosakan paru-paru atau kaki, atau juga kematian.

Mengapakah soalan ini penting?

Terdapat ubat-ubatan pencair darah yang kuat, dipanggil antikoagulan, yang berjaya diguna dalam kalangan orang dengan pelbagai masalah pembekuan, seperti mereka dengan HF yang juga mempunyai denyut jantung tak regular (aritmia yang dipanggil pemfibrilan atrium). Pada masa ini, tiada data untuk mengesyorkan penggunaan antikoagulan untuk mengelakkan masalah pembekuan dalam kalangan orang dengan HF yang mempunyai denyut jantung tak regular (dikenali sebagai ritma sinus). Dalam analisis ini, kami menilai kajian-kajian yang menguji antikoagulan dalam kalangan orang-orang ini untuk mengelakkan kematian, kematian akibat masalah jantung, dan masalah pembekuan teruk lain.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Kami mencari pangkalan-pangkalan data elektronik kajian-kajian (CENTRAL, MEDLINE, dan Embase). Kami mencari kajian-kajian rawak (seperti melambung syiling) yang membandingkan tablet-tablet antikoagulan dengan tiada rawatan atau plasebo (tablet tanpa kandungan ubat) dalam kalangan orang dengan HF dalam ritma sinus.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tiga kajian rawak, dengan 5498 peserta, yang kami gunakan untuk analisis.

Apakah maksudnya?

Berdasarkan tiga kajian rawak itu, kami tidak pasti tentang risiko kematian di antara orang yang mengambil warfarin dan mereka yang tidak. Walau bagaimanapun, orang yang mengambil warfarin mungkin lebih cenderung untuk episod-episod perdarahan major. Bukti mencadangkan tiada perbezaan dalam risiko kematian untuk orang yang mengambil rivaroxaban berbanding mereka yang tidak. Rivaroxaban mungkin mengurangkan risiko strok, tetapi risiko episod perdarahan major adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka yang tidak mengambil rivaroxaban.

Analisis kami tidak menyokong penggunaan rutin antikoagulasi dalam kalangan orang dengan HF yang kekal dalam ritma sinus.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Literatur ini adalah terkini hingga Mac 2020.

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information