Imunoglobulin untuk penyakit hemolitik alloimmune dalam kalangan bayi baru lahir

Soalan ulasan

Adakah IVIg berkesan untuk mengurangkan keperluan pertukaran transfusi dalam kalangan bayi baru lahir dengan penyakit hemolitik ‘alloimmune’ dalam kalangan bayi baru lahir (HDN)?

Latarbelakang

Dalam HDN alloimmune, antibodi ibu (protein yang dihasilkan oleh sistem imun sebagai respon terhadap kehadiran bahan asing) dihasilkan terhadap sel-sel darah janin. Antibodi-antibodi ini dipindahkan melalui plasenta dan memusnahkan sel darah merah, yang membawa kepada anemia janin (kekurangan sel merah dalam bayi yang belum lahir). Transfusi darah intrauterus (dalam rahim) digunakan untuk merawat anemia janin yang teruk. Selepas lahir, antibodi kekal berterusan di dalam bayi dan menyebabkan hiperbilirubinemia (paras pigmen oren-kuning darah (bilirubin, sisa buangan sel darah merah yang dimusnahkan) meningkat dengan risiko kerosakan otak yang serius (kernicterus) dan anemia. Rawatan tradisional hiperbilirubinemia terdiri daripada fototerapi (intensif) (rawatan cahaya) dan pertukaran transfusi (di mana darah bayi diganti dengan darah penderma, ET). Oleh kerana ET adalah prosedur invasif yang berisiko tinggi, rawatan alternatif seperti imunoglobulin intravena (IVIg), telah disiasat. IVIg difikirkan dapat mengurangkan kadar hemolisis dan seterusnya keperluan ET.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kesusasteraan perubatan pada 19 Mei 2017 dan mendapati sembilan kajian rawak (kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) atau kajian separa rawak (kuasi) (melibatkan 658 peserta) yang menilai kecekapan IVIg dalam kalangan bayi dengan HDN alloimmune.

Keputusan utama

Analisis semua kajian yang disertakan menunjukkan pengurangan keperluan dan jumlah ET dalam kalangan bayi yang dirawat dengan IVIg digabungkan dengan fototerapi berbanding bayi yang dirawat dengan fototerapi sahaja. Walau bagaimanapun, ini tidak disahkan dalam analisis dua kajian terkawal plasebo (di mana rawatan pura-pura diberikan). Tiada perbezaan dalam keperluan untuk atau bilangan transfusi tambahan.

Kualiti bukti

Bukti dari kajian-kajian adalah berkualiti sangat rendah. Walau bagaimanapun, dua kajian telah menggunakan plasebo, dengan itu meminimumkan bias dan membolehkan pembutaan penyelidik yang menilai respon. Kajian-kajian tersebut adalah konsisten dengan satu sama lain dan menghasilkan bukti berkualiti sederhana (dengan bilangan kecil peserta yang terlibat (172) menjadikan satu-satunya alasan untuk tidak menganggap tahap bukti sebagai tinggi) bahawa IVIg tidak berkesan dalam mencegah ET atau transfusi tambahan.

Kesimpulan

Berdasarkan semua kajian yang dimasukkan, kami tidak boleh membuat kesimpulan mengenai manfaat IVIg dalam mencegah ET atau transfusi tambahan. Walau bagaimanapun, kedua-dua kajian terkawal plasebo memberikan kualiti bukti sederhana bahawa IVIg tidak berkesan dalam mencegah ET atau transfusi tambahan, oleh itu penggunaan rutinnya dalam HDN ‘alloimmune’ tidak disyorkan. Walau bagaimanapun, oleh kerana terdapat beberapa bukti bahawa IVIg mengurangkan hemolisis (dalam kajian makmal), kajian akan datang yang berkualiti tinggi diperlukan untuk menentukan sama ada IVIg mempunyai peranan terhad dalam kalangan sesetengah bayi dengan HDN ‘alloimmune’.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save