Adakah ubat anti-sawan berkesan dan rawatan yang selamat untuk sindrom Lennox-Gastaut?

Mengapa persoalan ini penting?

Sindrom Lennox-Gastaut (LGS) adalah jenis epilepsi teruk yang mempengaruhi kanak-kanak. Gejala utama dalam LGS ialah sawan yang kerap dan pelbagai jenis. Sawan adalah disebabkan oleh aktiviti elektrik abnormal yang mengejut dan tidak terkawal di otak. Sawan sukar dirawat dengan ubat-ubatan anti-sawan (ASM). Pelbagai ASM diberi untuk cuba menghentikan sawan. Dua atau tiga ASM sering diberi pada masa sama, yang dikenali sebagai polifarmasi. Adalah tidak jelas ubat mana yang paling berkesan. Kebanyakan orang dengan LGS juga mengalami kesukaran pembelajaran dan tingkah laku.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Kami mencari literatur perubatan untuk kajian rawak terkawal (RCT) yang menganalisis kesan ubat-ubatan anti-sawan (ASM) untuk merawat LGS. Kami sertakan sebarang RCT yang membandingkan ASM, sama ada sebagai monoterapi atau terapi tambahan (penunjang), dengan plasebo (rawatan pura-pura), tanpa rawatan atau jenis rawatan lain. Kami kemudiannya membandingkan keputusan RCT tersebut dan meringkaskan bukti daripada semua kajian. Kami menilai keyakinan terhadap kepastian bukti tersebut, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan 11 kajian (1277 peserta, termasuk kanak-kanak, remaja dan dewasa). Kajian-kajian berlangsung antara kira-kira 11 minggu dan 112 minggu setelah perawakan. Tiada kajian yang disertakan membanding satu ASM dengan rawatan lain. Dua kajian membandingkan rejimen kanabidiol tambahan (ubat berasaskan kanabis) dengan rejimen plasebo tambahan (396 kanak-kanak, remaja dan dewasa). Satu kajian membandingkan rejimen cinromide tambahan dengan rejimen plasebo tambahan (56 kanak-kanak dan remaja sahaja). Satu kajian membandingkan rejimen clobazam tambahan dengan rejimen plasebo tambahan (238 peserta). Satu kajian membandingkan rejimen felbamate tambahan dengan rejimen plasebo tambahan (73 peserta). Dua kajian membandingkan rejimen lamotrigine tambahan dengan rejimen plasebo tambahan (186 peserta). Dua kajian membandingkan rejimen rufinamide tambahan dengan rejimen plasebo tambahan (197 peserta). Satu kajian membandingkan rejimen rufinamide tambahan dengan rejimen ASM lain (37 peserta). Satu kajian membandingkan rejimen topiramate tambahan dengan rejimen plasebo tambahan (98 peserta).

Kebanyakan bukti dalam ulasan ini berkait dengan orang dari negara berpendapatan sederhana atau tinggi dan, di mana dilaporkan, peserta etnik kulit putih.

Keputusan dan kepastian bukti

Kami menemui bukti kepastian tinggi lamotrigine tambahan meningkatkan bilangan peserta dengan pengurangan sekurang-kurangnya 50% dalam bilangan purata sawan yang dilaporkan. Kami juga menemu bukti kepastian rendah lamotrigine tambahan mungkin telah mengurangkan bilangan peserta dengan peristiwa buruk yang menyebabkan penamatan kajian apabila dibanding dengan plasebo tambahan.

Kami mendapati bukti kepastian tinggi rufinamide tambahan meningkatkan bilangan peserta dengan pengurangan sekurang-kurangnya 50% dalam bilangan purata sawan yang dilaporkan, apabila dibanding dengan plasebo tambahan. Kami juga menemukan bukti kepastian rendah rufinamide tambahan mungkin mempunyai sedikit atau tiada perbezaan kesan, berbanding plasebo tambahan atau ASM lain tidak spesifik, terhadap pengurangan bilangan peserta dengan peristiwa buruk yang menyebabkan penamatan kajian.

Topiramate tambahan mungkin telah meningkatkan bilangan peserta dengan pengurangan sekurang-kurangnya 75% dalam bilangan purata kejang yang dilaporkan, dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dengan bilangan peristiwa buruk yang menyebabkan penamatan kajian, jika dibanding dengan plasebo tambahan (bukti kepastian rendah).

Felbamate tambahan (fasa rawatan) mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dari segi bebas sawan yang dilaporkan dan peristiwa buruk yang menyebabkan penamatan kajian apabila dibanding dengan plasebo tambahan (bukti kepastian rendah). Walau bagaimanapun, kami mendapati apabila sawan direkod dalam persekitaran penyelidikan, felbamate tambahan mungkin meningkatkan bebas sawan berbanding plasebo tambahan (bukti kepastian rendah).

Kami tetap tidak pasti sama ada terapi ubat tambahan lain, termasuk kanabidiol, cinromide dan clobazam, mengurangkan semua jenis sawan kerana hasil ini tidak dilaporkan atau mempunyai bukti kepastian yang sangat rendah. Kami mendapati bukti kepastian tinggi kanabidiol tambahan dan clobazam tambahan meningkatkan bilangan peserta dengan peristiwa buruk yang menyebabkan penamatan kajian, apabila dibanding dengan plasebo tambahan. Kami tidak menemui bukti peristiwa buruk yang menyebabkan penamatan kajian dalam perbandingan cinromide tambahan dengan plasebo tambahan.

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi Cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information