Intervensi untuk jangkitan kulit impetigo.

Impetigo menyebabkan kudis yang berupa lepuh. Kudis boleh mengandungi nanah dan membentuk kuping, dan penggaruan kulit boleh merebakkan jangkitan. Impetigo disebabkan oleh bakteria. Ia mudah berjangkit dan biasanya berlaku pada kanak-kanak. Ia adalah jangkitan kulit bakteria yang paling biasa ditunjukkan oleh kanak-kanak kepada doktor penjagaan utama. Pilihan rawatan termasuk antibiotik topikal (krim antibiotik), antibiotik oral (antibiotik diambil melalui mulut), dan larutan disinfektan. Tiada rawatan standard umum yang disetujui dan bukti mengenai intervensi yang berfungsi tidak jelas.

Kami telah mengenal pasti 68 ujian terkawal rawak yang membandingkan pelbagai rawatan untuk impetigo. Semua kajian ini menilai 26 rawatan oral dan 24 rawatan topikal, termasuk plasebo, dan keputusan telah diperolehi daripada 5708 peserta.

Secara keseluruhannya, antibiotik topikal menunjukkan kadar penyembuhan yang lebih baik daripada plasebo topikal.

Dua krim antibiotik, mupirocin dan asid fusidic, sekurang-kurangnya berkesan sebagai antibiotik oral di mana penyakit ini tidak merebak dengan luas. Tidak ada bukti jelas bahawa salah satu daripada kedua-dua antibiotik topikal paling biasa dikaji adalah lebih berkesan daripada yang lain.

Mupirocin topikal lebih berkesan daripada antibiotik oral, erythromycin oral.

Kami mendapati bahawa antibiotik oral, penicillin oral, tidak berkesan untuk impetigo, manakala antibiotik oral lain (misalnya erythromycin dan cloxacillin) boleh membantu.

Ia adalah tidak jelas samada antibiotik oral adalah lebih berkesan daripada antibiotik topikal untuk orang dengan impetigo yang merebak luas.

Terdapat kekurangan bukti yang menunjukkan bahawa penggunaan larutan disinfektan boleh memulihkan impetigo. Apabila 2 kajian dengan 292 peserta telah dikumpulkan, antibiotik topikal adalah jauh lebih baik daripada rawatan pembasmi kuman.

Kesan sampingan untuk rawatan topikal dilaporkan lebih ringan dan tidak begitu kerap; rawatan kadang-kadang menyebabkan kegatalan, rasa panas atau pengotoran. Antibiotik oral menyebabkan aduan gastrousus seperti loya dan cirit-birit, dalam 2% kepada 30% daripada peserta, bergantung kepada antibiotik tertentu.

Di seluruh dunia, bakteria yang menyebabkan impetigo menunjukkan kadar rintangan yang semakin meningkat untuk antibiotik yang biasa digunakan. Untuk rawatan topikal yang baru digunakan retapamulin, tiada rintangan telah dilaporkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information