Amniosentesis dan persampelan plasenta untuk diagnosis pra-kelahiran

Apakah isunya?

Ramai wanita ingin diyakinkan bahawa bayi mereka yang belum lahir sihat. Amniosentesis trimester kedua yang dilakukan sekitar 16 minggu kehamilan adalah ujian yang paling kerap digunakan. Jarum dimasukkan melalui perut ke dalam rahim untuk mengeluarkan sampel cecair ketuban. Amniosentesis awal boleh dilakukan sebelum 15 minggu. Dengan persampelan villus korionik, jarum digunakan untuk mengeluarkan sampel tisu plasenta. Jarum boleh dimasukkan melalui perut (transabdominal), atau secara faraj melalui serviks (transerviks).

Mengapakah ini penting?

Penting bahawa ujian yang digunakan untuk menunjukkan risiko tinggi (ujian saringan), dan ujian yang digunakan untuk membuat diagnosis (ujian diagnostik) adalah selamat dan tepat. Penting juga bahawa ujian diagnostik dapat dilakukan lebih awal untuk membolehkan ibu bapa memilih penamatan awal kehamilan.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami mencari bukti pada 3 Mac 2017; kami memasukkan 16 kajian terkawal secara rawak dalam ulasan, dengan jumlah 33,555 wanita. Keseluruhan risiko berat sebelah adalah rendah, dengan bukti berkualiti rendah hingga tinggi yang menyokong hasil yang dikaji. Satu kajian terhadap 4606 wanita mendapati bahawa amniosentesis trimester kedua meningkatkan keguguran spontan dan kehilangan kehamilan, tetapi anggarannya tetap tidak tepat, antara 0 hingga 2%.

Amniosentesis awal tidak begitu selamat seperti amniosentesis trimester kedua kerana peningkatan kehilangan kehamilan dan keguguran spontan, dan kejadian anomali yang lebih tinggi, terutamanya cacat atau kaki bengkok (talipes).

Bukti berkualiti rendah tidak menunjukkan perbezaan yang jelas dalam kehilangan kehamilan atau keguguran spontan setelah pensampelan villus korionik transabdominal atau amniosentesis trimester kedua. Pensampelan villus korionik transerviks dapat meningkatkan risiko kehilangan kehamilan berbanding dengan amniosentesis trimester kedua, kebanyakannya disebabkan oleh peningkatan keguguran spontan. Kakitangan penjagaan kesihatan mungkin mendapati persampelan villus korionik transerviks lebih sukar dilakukan daripada persampelan villus korionik transabdominal, kerana terdapat lebih banyak kegagalan untuk mendapatkan sampel, dan lebih banyak ujian berulang.

Apakah maksudnya?

Bukti berkualiti tinggi menyokong amniosentesis trimester kedua sebagai prosedur pilihan pertama untuk ujian dari kehamilan 15 minggu atau lebih baru. Apabila ujian diperlukan lebih awal daripada kehamilan 15 minggu, bukti berkualiti rendah hingga sederhana menunjukkan bahawa pensampelan vilus korionik transabdominal dapat dianggap sebagai prosedur pilihan pertama, bergantung pada hasil yang diminati.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information