Bisphosphonate dalam myeloma berbilang

Soalan ulasan: Apakah kesannya jika bisphosphonate ditambah kepada rawatan sedia ada untuk myeloma berbilang?

Latar belakang: Myeloma berbilang (juga dikenali sebagai myeloma atau myeloma sel plasma) adalah kemalignanan B-sel atau, lebih tepat lagi, neoplasm sel plasma. Kanser ini tumbuh di dalam atau di luar tulang. Kerosakan tulang, atau lesi osteolitik, boleh membawa kepada fraktur tulang panjang atau fraktur mampat di tulang belakang. Mekanisma kemusnahan tulang dilihat ada kaitan dengan peningkatan resorpsi tulang oleh sel-sel yang dipanggil osteoklas. Bisphosphonate adalah ubat-ubatan yang boleh menghalang resorpsi tulang dengan mengurangkan bilangan dan aktiviti osteoklas.

Tarikh carian: Bukti ini adalah terkini sehingga Julai 2017.

Ciri-ciri kajian: Ini adalah kemas kini ulasan 24 kajian yang mendaftarkan 7293 peserta. Dua puluh kajian rawak terkawal membandingkan bisphosphonate dengan plasebo atau tiada rawatan dan empat kajian rawak terkawal melibatkan satu lagi bisphosphonate sebagai pembanding.

Keputusan utama: Penggunaan bisphosphonate dalam kalangan peserta dengan myeloma berbilang tidak dapat meningkatkan survival secara keseluruhan atau survival bebas progresi penyakit. Penggunaan bisphosphonate dalam kalangan peserta dengan myeloma berbilang mengurangkan fraktur, fraktur vertebra secara keseluruhan tetapi tidak fraktur bukan vertebra. Bisphosphonate juga mengurangkan sakit tanpa banyak kesan sampingan kecuali peningkatan ketara dalam pengurangan aliran darah ke tulang rahang mengakibatkan kerosakan tulang juga disebut osteonekrosis. Secara keseluruhan, bagi setiap 1000 peserta yang dirawat dengan biphosphonate, kira-kira seorang pesakit akan mengalami osteonekrosis rahang. Zoledronate didapati lebih baik daripada etidronate dan plasebo, tetapi tidak lebih baik daripada pemidronate atau clodronate untuk meningkatkan survival keseluruhan dan hasil lain seperti fraktur secara umum atau secara spesifik fraktur vertebra. Tiada bukti tentang kelebihan sebarang aminobisphosphonate (zoledronat, pamidronate atau ibandronate) spesifik atau bukan aminobisphosphonate (etidronate atau clodronate) untuk sebarang hasil.

Kualiti bukti: Kualiti keseluruhan bukti adalah sederhana hingga sangat rendah yang menunjukkan keperluan lebih banyak penyelidikan mengenai isu ini dan secara khusus kajian rawak terkawal membandingkan pelbagai bisphosphonate secara langsung dan bukannya tanpa rawatan atau plasebo.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information