Kesan kemoterapi terhadap survival bagi kanser rahim tahap awal selepas histerektomi.

Kanser rahim (endometrium) adalah penyakit yang agak lazim mempengaruhi kira-kira 1 dalam 70 wanita. Histerektomi biasanya menyembuhkan kerana kebanyakan kanser berisiko rendah untuk merebak (metastasis) ke bahagian lain yang mungkin mengakibatkan perulangan di kemudian hari. Pemeriksaan mikroskopik spesimen histerektomi boleh memberitahu doktor jika berisiko tinggi untuk perulangan dan ini membolehkan wanita memutuskan untuk rawatan pencegahan lanjutan (terapi adjuvan) bagi mengurangkan risiko. Kemoterapi boleh meningkatkan kadar penyembuhan untuk lain-lain jenis kanser yang berisiko tinggi setelah pembedahan awal dan ulasan ini menilai keberkesanan kemoterapi untuk kanser rahim primer selepas histerektomi. Data dari sembilan kajian rawak terkawal klinikal yang berkualiti tinggi melibatkan 2197 wanita telah menjalani pemodelan statistik secara sistematik. Ia menunjukkan kemoterapi mengurangkan risiko penyakit berulang, memanjangkan tempoh sebelum diagnosis metastasis dan menambahbaik kadar survival. Terdapat banyak cara untuk menilai data. Analisis subset yang mengecualikan rejimen ubat fesyen lama mencadangkan bahawa kemoterapi boleh mengurangkan risiko kematian pada bila-bila masa sebanyak satu perempat. Bilangan wanita yang memerlukan kemoterapi untuk mencegah satu kematian bergantung kepada jenis kanser. Dalam kajian-kajian tersebut, seorang wanita telah sembuh bagi setiap 25 orang yang dirawat dengan dos tinggi kemoterapi berasaskan platinum selepas histerektomi. Ini adalah pengurangan risiko mutlak sebanyak 4%. Kemoterapi dikaitkan dengan peningkatan survival yang lebih besar berbanding radioterapi dan ia mempunyai nilai tambah apabila diguna dengan radioterapi. Ia juga mengurangkan risiko mutlak mendapat kanser berulang di luar pelvis sebanyak 5%. Ini akan memanfaatkan satu dalam setiap 20 orang wanita yang dirawat. Namun, kemoterapi mempunyai kesan sampingan, risiko dan mengurangkan kualiti hidup wanita buat sementara waktu. Dalam banyak kes, pengurangan kecil risiko kanser berulang mungkin tidak berbaloi berbanding kesan sampingan rawatan adjuvan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi hazlinakck@usm.my

Tools
Information
Share/Save