Pembalut untuk pencegahan jangkitan tapak pembedahan

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan untuk menilai sama ada penggunaan pembalut luka yang berbeza (atau membiarkan luka terdedah tanpa pembalut) mempunyai kesan ke atas bilangan orang yang mendapat jangkitan luka selepas pembedahan di mana luka ditutup dengan jahitan, staples, klip atau gam. Kami juga menyiasat sama ada pembalut yang berbeza menyebabkan kesakitan yang kurang, kurang parut atau lebih boleh diterima oleh pesakit dan profesional kesihatan.

Latar belakang

Berjuta-juta prosedur pembedahan dijalankan di dunia setiap tahun. Majoriti prosedur mengakibatkan luka di mana tepi disatukan untuk sembuh menggunakan jahitan, staples, klip atau gam; ini dipanggil 'penyembuhan dengan niat utama'. Selepas itu, luka sering ditutup dengan pembalut yang bertindak sebagai penghalang antaranya dan persekitaran luar. Satu kemungkinan kelebihan pembalut adalah untuk melindungi luka daripada jangkitan (jangkitan tapak pembedahan). Banyak jenis pembalut yang berbeza tersedia untuk digunakan pada luka pembedahan. Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada satu jenis pembalut adalah lebih baik daripada yang lain dalam mencegah jangkitan tapak pembedahan, atau, sememangnya, sama ada lebih baik tidak menggunakan pembalut sama sekali.

Ciri-ciri kajian

Kami menjalankan ulasan ke atas semua bukti relevan yang ada tentang kesan pembalut pada pencegahan jangkitan tapak pembedahan dalam penyembuhan luka pembedahan dengan niat utama. Ulasan ini mengkaji data daripada 29 kajian rawak terkawal (yang memberikan bukti yang paling boleh dipercayai). Ini menyiasat penggunaan pembalut dalam pembedahan yang mempunyai risiko rendah jangkitan tapak pembedahan (pembedahan bersih) dan pembedahan dengan risiko yang lebih tinggi (pembedahan yang berpotensi tercemar).

Keputusan utama

Kami tidak menemui bukti yang jelas untuk mencadangkan bahawa satu jenis pembalut adalah lebih baik daripada yang lain dalam mengurangkan risiko jangkitan tapak pembedahan, atau menutup luka dengan sebarang pembalut sama sekali mengurangkan risiko jangkitan tapak pembedahan. Selain itu, tiada bukti jelas bahawa mana-mana jenis pembalut menambahbaikkan parut, kawalan kesakitan, penerimaan pesakit atau kemudahan penyingkiran. Pada masa ini pembuat keputusan boleh memilih untuk membuat keputusan tentang sama ada dan cara membalut luka berdasarkan keutamaan pesakit dan doktor serta kos pembalut.

Kepastian bukti

Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa banyak kajian dalam ulasan ini adalah kecil dan buktinya adalah kepastian rendah atau sangat rendah yang bermaksud bahawa maklumat semasa tidak pasti.

Dinilai sebagai terkini hingga November 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information