Haloperidol berbanding plasebo untuk skizofrenia

Haloperidol mula dibangunkan pada akhir 1950-an. Penyelidikan kemudiannya menunjukkan kesan terapeutiknya terhadap gejala skizofrenia, seperti mendengar suara dan melihat sesuatu (halusinasi), mempunyai kepercayaan aneh (delusi), agresif, impulsif dan berkeadaan keterujaan. Ini membawa kepada pengenalan haloperidol sebagai salah satu ubat antipsikotik yang pertama. Ubat antipsikotik adalah rawatan utama untuk gejala skizofrenia. Walaupun dengan pengenalan ubat-ubatan antipsikotik baharu (ubat-ubatan generasi kedua atau 'atipikal'), haloperidol kekal digunakan secara meluas dan menjadi penanda aras untuk menilai keberkesanan ubat-ubat antipsikotik yang lebih baharu.

Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai kesan haloperidol ke atas skizofrenia dan penyakit mental lain yang serius berbanding dengan 'dummy (yang palsu)' atau tiada rawatan (plasebo). Carian baharu untuk kajian telah dijalankan pada bulan Mei 2012 dan ulasan sekarang memasukkan 25 kajian dengan sejumlah 4651 orang. Ulasan penulis menilai kualiti bukti yang dilaporkan dalam kajian untuk tujuh hasil utama (keadaan global, kematian, kepulangan dari hospital, pengulangan, wal meninggalkan kajian, kesan buruk dan kepuasan dengan rawatan). Untuk keadaan global, awal meninggalkan kajian dan kesan buruk pengulas menilai bukti sebagai kualiti sederhana, walau bagaimanapun, pengulangan dan kepulangan dari hospital dinilai sebagai bukti berkualiti sangat rendah. Tiada data tersedia untuk kematian dan kepuasan dengan rawatan.

Berdasarkan kualiti bukti yang sederhana, haloperidol didapati lebih baik daripada plasebo dalam merawat skizofrenia. Lebih ramai orang yang diberikan haloperidol bertambah baik dalam enam minggu pertama rawatan berbanding dengan plasebo yang diberikan. Namun demikian, sejumlah besar orang dengan haloperidol mengalami kesan sampingan, termasuk kekejangan otot, gegaran yang tidak terkawal, tremor, mengantuk dan gelisah.

Penulis merumuskan bahawa haloperidol adalah antipsikotik yang kuat dan berkesan untuk merawat gejala skizofrenia tetapi mempunyai potensi untuk menyebabkan kesan sampingan yang melemahkan. Pesakit skizofrenia dan pakar psikiatri mungkin mahu memberikan ubat antipsikotik yang lebih baru dengan kesan sampingan yang kurang.

Akhir sekali, sebahagian besar maklumat dan data lain dalam kajian adalah lemah dan dilaporkan secara teruk, bermakna kajian yang lebih baik diperlukan. Ramai orang, dari kedua-dua kumpulan meninggalkan kajian lebih awal. Ini menunjukkan bahawa reka bentuk dan perlaksanaan kajian adalah teruk dan mungkin tidak dapat diterima oleh orang. Berdasarkan penemuan ini, mungkin mengejutkan bahawa haloperidol merupakan penanda aras antipsikotik dengan penggunaan yang meluas untuk merawat skizofrenia. Ia juga memeranjatkan bahawa haloperidol digunakan secara meluas sebagai perbandingan untuk ubat baharu. Haloperidol adalah ubat antipsikotik yang berkesan tetapi mempunyai kesan sampingan yang serius dan melemahkan.

Benjamin Grey, Pengguna Perkhidmatan dan Pakar Pengguna Perkhidmatan, Rethink Mental Illness.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save