Agen dopamin untuk ensefalopati hepatik

Ensefalopati hepatik adalah komplikasi serius penyakit hati yang teruk. Penyakit ini sering berubah dengan spektrum pelbagai gejala yang luas daripada tanda-tanda kecil, tidak mudah dilihat hingga koma yang mendalam. Gejala sering terjadi apabila ada tekanan yang berkaitan dengan jangkitan, dehidrasi, sembelit yang teruk, atau perdarahan gastrousus. Mekanisme asas yang tepat di sebalik perkembangan penyakit ini tidak diketahui. Kajian eksperimental mencadangkan perubahan mental dalam ensefalopati hepatik mencerminkan perubahan dalam neurotransmiter di otak.

Dopamin memainkan peranan utama dalam neurotransmisi. Beberapa penyakit sistem saraf termasuk penyakit Parkinson adalah disebabkan oleh disfungsi sistem dopamin. Sesetengah pesakit dengan ensefalopati hepatik mempunyai gejala yang serupa seperti yang dilihat dalam pesakit dengan penyakit Parkinson (pemikiran yang perlahan, pergerakan kaku, tremor). Bagi pesakit Parkinson, ubat-ubatan yang dikenali sebagai agen dopamin (ubat-ubatan yang meniru kesan dopamin neurotransmiter) jelas mengurangkan gejala. Ubat-ubatan ini juga telah dinilai untuk pesakit dengan ensefalopati hepatik.

Kami membuat ulasan sistematik ini untuk menentukan kesan-kesan manfaat dan mudarat agen dopamin untuk pesakit ensefalopati hepatik. Analisis kami memasukkan lima kajian kecil yang diterbitkan pada 1982 atau lebih awal. Semua kajian kecuali satu berisiko bias tinggi (iaitu, risiko ralat sistematik atau risiko terlebih anggar kesan manfaat atau risiko terkurang anggar kesan mudarat). Hanya 144 pesakit dimasukkan ke dalam lima kajian tersebut, dan dengan itu risiko ralat rawak wujud. Analisis kami tidak menunjukkan perbezaan ketara gejala ensefalopati hepatik atau kematian dalam kalangan pesakit yang dirawat dengan agen dopamin berbanding pesakit yang menerima plasebo tidak aktif atau tiada intervensi. Bilangan pesakit dengan kesan buruk dilihat sebanding dalam kedua-dua kumpulan intervensi. Berdasarkan bukti sedia ada, kami membuat kesimpulan tiada bukti yang boleh didapati untuk mencadangkan atau menyangkal penggunaan agen dopamin untuk ensefalopati hepatik. Lebih banyak kajian klinikal rawak terkawal plasebo tanpa risiko ralat sistematik dan risiko ralat rawak dilihat perlu untuk mendapatkan bukti kukuh tentang agen dopamin bagi pesakit dengan ensefalopati hepatik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information