Susu formula berbanding susu badan penderma bagi penyusuan bayi pramatang atau bayi yang mempunyai berat badan yang rendah

Ulasan soalan

Bilamana susu ibu tidak dapat diberikan kepada bayi, adakah penyusuan bayi pramatang atau bayi yang mempunyai berat badan yang rendah dengan susu formula dan bukannya dengan susu penderma menjejaskan penghadaman, pembesaran dan mendapat risiko masalah usus yang teruk?

Latarbelakang

Bayi pramatang kerap mendapati susu formula lebih sukar untuk dihadam berbanding dengan susu manusia, dan terdapat kebimbangan adakah susu formula menambah risiko terjadinya masalah usus yang teruk. Jika bayi pramatang disusukan dengan susu penderma (bilamana susu ibu sendiri tidak mencukupi atau tiada), dan bukannya susu formula, perkara ini mungkin mengurangkan risiko masalah di atas. Susu badan penderma, bagaimanapun, adalah lebih mahal dari kebanyakan susu formula, dan mungkin tidak mengandungi amaun nutrisi utama yang mencukupi untuk memastikan pembesaran optima bagi bayi pramatang atau bayi yang mempunyai berat badan yang rendah. Memandangkan kebimbangan ini, kami telah mengkaji semua bukti yang terdapat dari kajian-kajian klinikal yang membandingkan susu formula dengan susu badan penderma bagi penyusuan bayi pramatang ataubayi yang mempunyai berat badan yang rendah.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 12 kajian yang telah selesai (melibatkan 1871 bayi). Kebanyakan kajian, terutamanya kajian yang baru dijalankan, menggunakan kaedah-kaedah yang boleh dipercayai. Bukti ini adalah terkini sehingga 3 Mei 2019.

Keputusan utama

Gabungan analisa data daripada kajian-kajian ini menunjukkan penyusuan dengan susu formula meningkatkan kadar pembesaran ketika dalam hospital, tetapi berkait dengan risiko yang lebih tinggi terjadinya masalah usus yang teruk yang dikenali sebagai nekrosis enterokolitis (usus kecil mereput dan mati) . Tidak ada bukti kesan ke atas kelangsungan hidup atau pembesaran jangka masa panjang dan tumbesaran.

Kesimpulan

Bukti semasa yang ada mencadangkan agar penyusuan bayi pramatang dengan susu formula (selain susu badan penderma apabila susu badan ibu sendiri tidak didapati) dikaitkan dengan kadar pembesaran yang lebih cepat, tetapi dengan risiko mendapat nekrosis enterokolitis yang hampir berganda. Seterusnya, kajian yang lebih besar mungkin dapat memberikan bukti yang lebih kukuh dan lebih tepat bagi membantu pakar-pakar perubatan dan ahli keluarga bayi untuk membuat pilihan bermaklumat mengenai isu ini. Pada masa ini, empat kajian sepertinya (yang melibatkan lebih 1100 bayi) sedang dijalankan di peringkat antarabangsa, dan kami bercadang untuk memasukkan data daripada kajian-kajian ini ke dalam ulasan bilamana ianya dapat diperolehi.

Nota terjemahan: 

Nota terjemahan CD002971.pub5. Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save