Menggunakan susu formula berbanding susu ibu penderma bagi penyusuan bayi pramatang atau bayi kurang berat badan

Soalan ulasan

Bila susu ibu sendiri tidak ada, adakah penggunaan susu formula kepada bayi pramatang atau kurang berat badan berbanding dengan susu ibu penderma menjejaskan penghadaman dan pembesaran dan risiko masalah usus yang serius.

Latar belakang

Bagi bayi pramatang susu formula lebih sukar untuk dihadam berbanding dengan susu manusia, terdapat kebimbangan di mana susu formula mungkin menambahkan risiko masalah usus yang serius. Jika bayi pramatang disusukan dengan susu ibu penderma (ketika susu ibu sendiri tidak mencukupi atau tiada), berbanding dengan susu formula, ini mungkin mengurangkan risiko masalah usus yang mungkin berlaku. Susu ibu penderma, walaubagaimanapun, lebih mahal harganya berbanding kebanyakan susu formula, dan mungkin tidak mengandungi nutrisi utama yang cukup untuk memastikan pembesaran optima bagi bayi pramatang atau kurang berat badan ketika dilahirkan. Dengan kebimbangan-kebimbangan ini, kami telah meneliti kesemua bukti yang ada daripada kajian-kajian klinikal yang membandingkan formula dengan susu ibu penderma untuk penyusuan bayi pramatang atau kurang berat badan ketika dilahirkan.

Ciri-ciri kajian

Dalam pencarian sehingga Jun 2017, kami menemui 11 kajian yang lengkap (melibatkan lebih dari 1800 bayi). Kebanyakan kajian, terutamanya kajian yang baru dijalankan, menggunakan kaedah-kaedah yang boleh dipercayai.

Keputusan utama

Analisis data yang digabungkan daripada kajian-kajian ini menunjukkan penyusuan dengan susu formula meningkatkan kadar pembesaran ketika perawatan di hospital, tetapi berkait dengan risiko lebih tinggi terjadinya penyakit usus yang teruk yang dikenali sebagai enterokolitis nekrosis. Tidak ada bukti kesan ke atas kelangsungan hidup atau pembesaran jangka masa panjang dan tumbesaran.

Kesimpulan

Bukti semasa yang ada mencadangkan penyusuan bayi pramatang dengan formula buatan (menggantikan susu ibu penderma apabila susu badan ibu sendiri tidak ada) dikaitkan dengan peningkatan kadar pertumbuhan, tetapi dengan risiko mendapat enterokolitis nekrosis yang hampir berganda. Kajian yang lebih besar pada masa depan mungkin dapat memberikan bukti yang lebih kukuh dan lebih tepat bagi membantu pakar-pakar perubatan klinikal dan keluarga untuk membuat pilihan bermaklumat mengenai isu ini. Pada masa ini, lima kajian sedemikian (yang melibatkan lebih 1200 bayi) sedang dijalankan di peringkat antarabangsa, dan kami bercadang untuk memasukkan data daripada kajian-kajian ini ke dalam ulasan bilamana ianya dapat diperolehi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save