Langkau ke kandungan utama

Adakah susu manusia dermaan dapat mencegah gangguan usus yang teruk pada bayi yang sangat pramatang atau berat lahir yang sangat rendah?

Mesej utama

• Memberi susu manusia dermaan kepada bayi yang sangat pramatang atau berat lahir yang sangat rendah dan bukannya susu formula dapat mengurangkan hampir separuh risiko enterokolitis nekrotis pada bayi.

• Mungkin terdapat sedikit atau tiada kesan terhadap jangkitan atau kadar kematian semasa berada di hospital.

Apakah itu enterokolitis nekrotisis?

Bayi yang sangat pramatang (mereka yang dilahirkan lapan minggu lebih awal dari tarikh jangkaan) dan bayi dengan berat badan yang sangat rendah ketika lahir (mereka yang beratnya kurang daripada 1.5 kg semasa lahir) berisiko mendapat enterokolitis nekrotik, iaitu keadaan usus yang teruk di mana tisu di dalam lapisan usus bayi mengalami keradangan dan akhirnya mati. Keadaan ini boleh menyebabkan jangkitan yang serius, kematian, dan masalah kehilangan upaya atau perkembangan pada masa depan.

Apakah itu susu dermaan?

Salah satu cara membantu mencegah enterokolitis nekrotik pada bayi yang sangat pramatang atau berat lahir sangat rendah adalah memberi mereka susu manusia dermaan (disumbangkan oleh wanita yang lain bukan ibu sendiri) dan bukannya formula artifisial (biasanya dihasilkan daripada susu lembu) apabila susu ibu sendiri tidak tersedia.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui jika susu ibu sendiri tidak tersedia, adakah pemberian susu manusia dermaan pada bayi yang sangat pramatang atau berat lahir yang sangat rendah berbanding susu formula dapat mengurangkan risiko enterokolitis nekrotis, jangkitan serius, dan kematian.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian dan membuat perbandingan serta meringkaskan hasil-hasil kajian yang kami dapati. Kami telah menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti yang didapati berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah-kaedah dan saiz-saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 12 kajian yang melibatkan sebanyak 2296 bayi. Memberi susu manusia dermaan kepada bayi yang sangat pramatang atau berat lahir yang sangat rendah dan bukannya susu formula mengurangkan kira-kira separuh risiko enterokolitis nekrotis. Mungkin terdapat sedikit atau tiada kesan terhadap jangkitan atau kadar kematian semasa tempoh bayi tinggal di hospital.

Apakah batasan bukti?

Kami yakin dengan bukti tentang kesan terhadap enterokolitis nekrotik. Kami hanya sederhana yakin dengan bukti terhadap jangkitan dan kematian yang serius kerana tiada kajian yang mencukupi untuk memastikan kesannya, dan ada kemungkinan individu dalam kajian mengetahui rawatan mana yang mereka terima, yang mungkin mempengaruhi dapatan kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga Februari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Quigley M, Embleton ND, Meader N, McGuire W. Donor human milk for preventing necrotising enterocolitis in very preterm or very low-birthweight infants. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 9. Art. No.: CD002971. DOI: 10.1002/14651858.CD002971.pub6.