Akupunktur atau ‘acupressure’ untuk induksi pelahiran

Apakah isunya?

Induksi pelahiran ditawarkan kepada wanita hamil apabila hasilnya akan lebih baik bagi ibu atau bayi jika kehamilan tidak diteruskan dan bayi dilahirkan. Sebab-sebab lazim induksi termasuklah kehamilan yang melebihi tarikh jangkaan, ruptur membran sebelum tempoh atau sebelum persalinan, dan kebimbangan tentang kesihatan ibu atau bayi, misalnya pra-eklampsia atau perkembangan bayi yang kurang memuaskan. Sesetengah wanita mengguna terapi komplemen di samping amalan perubatan konvensional untuk induksi. Akupunktur melibatkan kemasukan jarum halus pada titik-titik khusus di badan sementara ‘acupressure’ melibatkan penggunaan ibu jari atau jari-jari lain untuk mengaplikasi tekanan pada titik-titik tertentu. Kedua-duanya digunakan untuk membantu melembutkan dan mendilat serviks pada permulaan kontraksi pelahiran. Kedua-duanya mengurangkan sakit pelahiran dan dapat mengelakkan induksi perubatan dengan kaedah-kaedah lain misalnya prostaglandin.

Mengapakah hal ini penting?

Induksi perubatan mempunyai kesan-kesan sampingan yang ketara. Oleh itu, ramai wanita memilih kaedah komplemen dan alternatif untuk memulakan pelahiran. Akupunktur diamalkan oleh ramai bidan, di samping penjagaan biasa dan kajian awal mencadangkan manfaat dari akupunktur.

Apakah bukti yang kami temui?

Pada Oktober 2016, kami mencari bukti daripada kajian rawak terkawal tentang keberkesanan dan keselamatan akupunktur. Kami mengenal pasti lapan kajian tambahan yang sesuai untuk ulasan versi terdahulu pada 2013. Kami mendapati sejumlah 22 kajian yang melaporkan tentang 3456 wanita hamil. Para penulis menilai kebanyakan kajian berisiko bias sederhana.

Bukti berkualiti sederhana dan tinggi mendapati akupunktur dan ‘acupressure’ tidak mengurangkan pembedahan caesarean.

Akupunktur mungkin menggalakkan keadaan serviks yang lebih baik dalam tempoh 24 jam di dalam dua kajian (192 wanita) yang meneliti perkara ini. Hanya satu kajian melaporkan hasil yang serius kepada ibu atau bayinya, manakala tiada insiden serius di dalam kumpulan akupunktur atau kumpulan kawalan (bukti berkualiti rendah).

Apakah maksudnya?

Aupunktur dan ‘acupressure’ tidak mengurangkan keperluan untuk pembedahan caesarean tetapi mungkin meningkatkan kesediaan serviks untuk proses pelahiran. ‘Acupressure’ tidak membantu di dalam sebarang hasil yang kami nilaikan dalam ulasan ini. Kajian-kajian adalah berbeda dalam penggunaan akupunktur dan ‘acupressure’, kumpulan perbandingan dan hasil yang dilihat. Perbedaan ini bermaksud kami perlu berhati-hati dalam mentafsirkan penemuan. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan jika akupunktur atau ‘acupressure’ meningkatkan bilangan wanita yang bersalin melalui faraj dalam tempoh 24 jam dan untuk menilai keselamatan akupunktur dan ‘acupressure’.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Haslina Haroon (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi haslina@usm.my

Tools
Information