Vaksin bagi wanita untuk mencegah tetanus dalam bayi yang baru lahir

Soalan ulasan: Kajian kami menilai keterangan yang sedia ada tentang imunisasi dengan tetanus toxoid dalam kalangan wanita dalam lingkungan usia reproduktif untuk pencegahan tetanus dan kematian di kalangan bayi yang baru lahir dan untuk menentukan sama ada kemudaratan dikaitkan dengan pendedahan tetanus toxoid.

Latar belakang: Tetanus pada bayi yang baru lahir merupakan jangkitan yang menyebabkan ketegangan, kekejangan otot dan seringnya kematian.Ia adalah perkara biasa di negara-negara berpendapatan rendah, akibat kekurangan perlindungan dari ibu kepada bayi semasa kehamilan, bersama-sama dengan jangkitan kepada bayi apabila tali pusat dipotong dengan menggunakan peralatan tercemar.

Ciri-ciri kajian Bukti kajian adalah terkini sehingga Januari 2015. Ulasan ini merangkumi tiga kajian. Dua kajian menilai keberkesanan vaksin untuk wanita subur (9823 bayi): satu (1182 bayi baru lahir) menilai kesan toxoid tetanus terhadap influenza polivalen untuk mencegah tetanus dan kematian pada usia 30 hari; yang satu lagi (8641 bayi baru lahir) menilai kesan tetanus toxoid-difteria terhadap toxoid taun yang diberikan kepada wanita subur dalam mencegah kematian bayi baru lahir. Kajian ketiga (48 wanita dan bayi mereka yang baru lahir) menilai keselamatan administrasi vaksin tetanus toxoid difteria aselular pertusis (Tdap) semasa kehamilan berbanding dengan plasebo.

Keputusan utama dan kualiti bukti:

Suatu kesan perlindungan terhadap kematian akibat tetanus diperhatikan dalam kalangan bayi yang baru lahir daripada ibu-ibu yang telah mendapat sekurang-kurangnya dua dos vaksin tetanus toxoid berbanding dengan bayi yang baru lahir daripada ibu-ibu yang mendapat imunisasi dengan vaksin influenza.Kesan perlindungan yang serupa kelihatan dengan sekurang-kurangnya dua dos vaksin tetanus terhadap kematian bayi baru lahir.Kes-kes tetanus kurang berlaku pada kalangan bayi baru lahir dari wanita yang menerima sekurang-kurangnya satu dos tetanus toxoid. Bukti ini adalah berkualiti sederhana.Dalam kajian kedua, pemberian imunisasi tetanus toxoid difteria kepada wanita subur memberikan kesan perlindungan yang lebih tinggi terhadap kematian bayi baru lahir berbanding vaksin taun. Kualiti bukti adalah rendah untuk hasil kajian ini.Dalam kajian yang ketiga, tiada kejadian buruk yang serius (semasa mengandung atau kepada bayi) berkaitan dengan penerimaan vaksin Tdap.Wanita-wanita mengalami kesakitan yang lebih dengan suntikan vaksin daripada kumpulan dengan plasebo.Bukti yang sedia ada menyokong pelaksanaan program imunisasi untuk wanita dalam usia reproduktif atau wanita hamil dalam komuniti dengan serupa, atau lebih tinggi, tahap risiko tetanus pada bayi yang baru lahir dikedua-dua kawasan kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hospital Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save