Adakah intervensi untuk meningkatkan sokongan antara satu sama lain yang disediakan oleh pasangan, ahli keluarga, atau 'rakan-rakan' membantu perokok berhenti merokok?

Latar belakang

Perokok lebih cenderung berhenti apabila orang lain dalam lingkungan bulatan sosial mereka berhenti. Mereka juga lebih cenderung untuk berjaya apabila mereka menerima sokongan aktif untuk berhenti. Pasangan hayat, ahli keluarga, rakan, dan lain-lain adalah sumber penyokong yang berdaya maju. Ulasan ini menyiasat sama ada intervensi yang dirancang untuk melatih atau membimbing individu untuk memberi sokongan kepada perokok yang cuba berhenti membantu lebih banyak perokok berhenti daripada program berhenti merokok tanpa unsur sokongan rakan kongsi.

Ciri-ciri kajian

Ini adalah satu pengemaskinian daripada ulasan sebelumnya. Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga April 2018, dan menemui tiga kajian baru yang boleh kami sertakan, memberikan sejumlah 14 kajian dengan 3370 peserta. Kajian harus dijalankan secara rawak terkawal yang melibatkan perokok yang cuba berhenti, dan mengukur sama ada peserta telah berhenti merokok sekurang-kurangnya enam bulan selepas permulaan kajian. Kajian itu perlu memasukkan sekurang-kurangnya satu kumpulan yang merupakan sebahagian daripada program berhenti merokok untuk meningkatkan sokongan pasangan, dan sekurang-kurangnya satu kumpulan yang menerima program berhenti merokok sebanding dengan tanpa sokongan pasangan. Kebanyakan kajian dijalankan di Amerika Syarikat. Pada pengambilan jumlah purata peserta merokok antara 13 hingga 29 batang rokok setiap hari merentasi kajian. Status merokok pasangan yang memberikan sokongan berbeza-beza, tetapi kebanyakannya bukan perokok. Teknik intervensi adalah dari intensiti rendah ke tinggi; dalam sesetengah kes membantu dengan buku bantuan diri dan dalam kes lain dengan kaunseling bersemuka. Dalam beberapa kajian penyelidik tidak membuat sebarang hubungan langsung dengan 'pasangan' dan para perokok sendiri digalakkan untuk mencari 'rakan, tetapi dalam kajian lain kedua-dua perokok dan 'rakan' mereka menerima sokongan tatap muka.

Keputusan-keputusan utama

Kami menggabungkan 12 kajian (2818 peserta) untuk mengukur kejayaan berhenti pada enam hingga sembilan bulan susulan, dan tujuh kajian (2573 peserta) untuk mengukur berhenti merokok pada tempoh susulan 12 bulan. Sokongan pasangan tidak meningkatkan peluang berhenti merokok pada waktu tertentu. Kami juga membahagikan kajian dalam setiap analisis berdasarkan jenis sokongan pasangan (saudara / rakan / rakan sekerja berbanding pasangan / rakan kongsi bersekedudukan berbanding dengan peserta program yang berhenti). Tiada perbezaan dalam kadar berhenti di antara kumpulan kajian, tanpa mengira jenis pasangan yang memberi sokongan. Hanya satu kajian melaporkan bahawa sokongan pasangan semakin bertambah dalam kumpulan yang diberikan intervensi sokongan pasangan daripada kumpulan yang tiada intervensi sokongan pasangan. Satu lagi kajian melaporkan bahawa sokongan pasangan lebih baik dalam intervensi sokongan pasangan yang lebih intensif daripada intervensi sokongan pasangan yang kurang intensif.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti keseluruhan bukti sebagai rendah. Ini kerana terdapat masalah dengan reka bentuk beberapa kajian. Beberapa kajian penting hanya menggunakan laporan diri peserta untuk mengukur jika orang telah berhenti merokok, dan ada kemungkinan bahawa laporan ini mungkin tidak tepat. Tambahan pula, sedikit kajian mendapati bahawa intervensi sebenarnya meningkatkan tahap sokongan pasangan yang diterima oleh peserta. Oleh itu ulasan ini tidak dapat memberitahu kami sama ada menerima lebih banyak sokongan dari pasangan dapat membantu seseorang untuk berhenti merokok.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information