Ubat antiviral, interferon, dan pembuangan permukaan kornea dalam rawatan jangkitan virus herpes simplex pada mata

Soalan ulasan
Kami membandingkan rawatan yang berbeza untuk mata yang dijangkiti virus herpes simplex (HSV).

Latar belakang
Jangkitan HSV pada mata menyebabkan kesakitan dan penglihatan kabur. Ubat mata antiviral, titisan interferon, dan sapuan superfisial telah digunakan untuk menyembuhkan jangkitan HSV pada permukaan kornea.

Ciri-ciri kajian
Kemas kini ini adalah semasa sehingga Disember 2014, menggunakan satu rangkaian 137 kajian terhadap 8333 mata untuk membandingkan ubat antiviral dan untuk mengetahui sama ada interferon atau debridmen akan membantu. Antara satu hingga 28 kajian tersedia untuk membandingkan tujuh ubat antiviral oftalmik, antiviral yang diambil melalui mulut, interferon, prosedur pesakit luar untuk membuang permukaan mata yang dijangkiti, dan ubat lain.

Keputusan utama
Antiviral pertama, idoxuridine dan vidarabine, kelihatan lebih baik daripada tiada rawatan dalam penyembuhan keratitis dendritik HSV dalam masa dua minggu. Trifluridine, acyclovir, atau brivudine yang digunakan secara topikal adalah lebih baik dan selamat daripada idoxuridine, menyembuhkan kira-kira 90% mata yang dirawat dalam masa dua minggu, dan tidak mempunyai perbezaan ketara dalam keberkesanan. Bukti bercanggah sama ada ganciclovir adalah sebaik atau lebih baik daripada acyclovir. Penentuan peranan pil antiviral dihadkan oleh beberapa kajian dan penemuan yang tidak konsisten. Interferon, iaitu satu bahagian semula jadi sistem imun yang boleh diberikan sebagai titisan mata, aktif terhadap jangkitan HSV pada kornea. Penggunaan bersepadu interferon dan ubat antivirus mungkin lebih baik sedikit daripada ubat antivirus sahaja. Rawatan lain adalah dengan menggosok permukaan mata yang dijangkiti, tetapi menggunakan kaedah mengelap diikuti dengan ubat antivirus lebih baik daripada hanya ubat antivirus secara tidak konsisten.

Kualiti bukti
Perbandingan satu ubat antiviral oftalmik dengan yang lain mempunyai kualiti bukti yang sederhana, kecuali penilaian yang membandingkan ganciclovir dan acyclovir di mana kajian tidak konsisten. Kualiti bukti adalah sederhana hingga rendah apabila ubat antiviral oftalmik dibandingkan dengan gabungan rawatan antivirus dan interferon atau dengan gabungan rawatan antivirus dan debridmen. Bukti adalah terhad atau kurang untuk perbandingan terkawal plasebo, perbandingan rawatan antiviral dengan interferon atau debridement, dan penilaian pil antiviral. Perawakan yang betul tidak dapat dipastikan dalam hampir satu perempat daripada kajian. Pesakit atau pemeriksa mungkin mengetahui rawatan yang diberikan dalam sekurang-kurangnya separuh daripada kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi Cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information