Adakah kaunseling telefon membantu orang berhenti merkok?

Latar belakang

Sebilangan intervensi adalah sedia ada untuk membantu orang berhenti merokok. Satu daripadanya adalah dengan menggunakan panggilan telefon untuk memberi maklumat, nasihat dan membantu perokok berhenti merokok. Orang boleh menggunakan perkhidmatan tersebut dengan menelefon talian berhenti merokok atau dengan mendaftar untuk mendapat panggilan daripada kaunselor. Kami ingin mengetahui sama ada kaunseling telefon boleh membantu orang berhenti merokok. Carian bukti terkini kami adalah pada Mei 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami menjumpai 104 kajian (111,653 peserta) yang menguji keberkesanan mana-mana jenis kaunseling telefon. Peserta kebanyakannya perokok deeasa daripada populasi am, tetapi sesetengah kajian turut melihat kepada orang remaja, wanita hamil, dan orang dengan keadaan jangka panjang atau kesihatan mental.

Sesetengah kajian menyertakan peserta yang telah memanggil talian bantuan yang memberikan kaunseling berhenti merokok (talian berhenti merokok). Kajian lain menyertakan orang yang tidak menelefon talian berhenti merokok, tetapi menerima panggilan daripada kaunselor atau pemberi kesihatan yang lain.

Sesetengah kajian memberikan kaunseling telefon sahaja, tetapi banyak yang lain memberikan kaunseling telefon sekali dengan sokongan minimal seperti risalah bantuan diri, atau sokongan lebih aktif seperti kaunseling bersemuka, atau dengan ubatan berhenti merokok. Bilangan panggilan yang diberi adalah dari satu panggilan sehingga 12. Sesetengah kajian hanya merekrut orang yang cuba berhenti merokok, dan yang lain memberikan sokongan walaupun untuk mereka yang tidak cuba berhenti dengan aktif.

Kajian perlu membandingkan kumpulan di mana peserta mempunyai ciri yang sama pada permulaan kajian, untuk menyiasat sama ada peserta telah berhenti merokok untuk sekurang-kurangnya enam bulan, dan secara ideal patut menguji sama ada orang telah berhenti dengan ujian darah atau kencing.

Kami menilai beberapa kajian sebagai direka bentuk dan dijalankan dengan bagus. Kebanyakan mempunyai sekurang-kurangnya satu isu yang mampu menjejaskan keputusan.

Keputusan-keputusan utama

Dalam orang yang telah menelefon talian bantuan, pemberian kaunseling telefon tambahan meningkatkan peluang mereka untuk berhenti merokok dari 7% ke 10%. Dalam orang yang tidak menelefon talian bantuan, tetapi menerima panggilan telefon daripada kaunselor atau pemberi kesihatan lain, peluang mereka untuk berhenti merokok meningkat dari 11% ke 14%. Dalam kajian yang membandingkan panggilan banyak dengan lebih sedikit secara terus, orang yang diberikan lebih banyak panggilan (tiga ke lima) lebih cenderung untuk berhenti daripada mereka yang menerima hanya satu panggilan. Kaunseling telefon kelihatan meningkatkan peluang untuk berhenti merokok, sama ada atau tidak orang terdorong untuk berhenti atau sedang menerima sokongan berhenti merokok yang lain.

Kepastian bukti

Kepastian bukti secara keseluruhan adalah sederhana, bermakna bahawa penyelidikan lanjutan besar kemungkinan akan membawa impak penting atas kesimpulan kami.

Nota terjemahan: 

Di terjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save