Rawatan imun untuk neuropati periferi yang disebabkan oleh paraprotein antibodi IgM yang mungkin bergabung dengan MAG, sejenis protein di dalam sarung myelin saraf.

Soalan ulasan

Apakah kebaikan dan keburukan rawatan imun untuk neuropati periferi yang disebabkan oleh paraprotein antibodi IGM yang mungkin bergabung dengan glikoprotein berkaitan-myelin" (MAG)?

Latarbelakang

Terdapat beberapa jenis antibodi di dalam badan manusia. Antibodi tersebut sedikit sebanyak berupaya menyesuaikan diri secara spesifik untuk mengenali sasaran (selalunya protein asing seperti cebisan bakteria, virus ataupun tumor). Dalam sesetengah orang, terlalu banyak sesuatu jenis protein dihasilkan, ini dipanggil paraprotein.Sesetengah paraprotein adalah dalam kelas IGM (antibodi IGM adalah jenis 'berkuasa serangan awal').Antibodi ini boleh bertindakbalas terhadap glikoprotein berkaitan-myelin yang dikenali sebagai MAG.MAG adalah molekul pada sarung penebat myelin saraf.Antibodi yang terikat pada saraf myelin ini mungkin menghasilkan kerosakan spesifik kepada saraf yang dipanggil neuropati periferi.Neuropati periferi anti-MAG berkaitan-paraprotein adalah satu keadaan yang mempengaruhi lebih ramai kaum lelaki dari wanita, lazimnya pada umur 60 tahun ke atas.Ia menyebabkan gejala sensori progresif, terketar-ketar dan tremor, dan kadangkala sedikit kelemahan pada bahagian kaki.

Rawatan yang bertindak ke atas sistem imun seperti pertukaran plasma (di mana antibodi di dalam sistem dibuang dan ditukar dengan plasma darah pengganti yang lebih bersih), penggunaan immunoglobulin intravena (IVIg; antibodi yang telah ditulenkan dari darah yang telah diderma), rituximab (yang membunuh sebahagian sel yang menghasilkan antibodi), kortikosteroid, ataupun ubat antikanser dipercayai dapat mengurangkan antibodi IgM yang menjadi penyebab kepada neuropati periferi dan merencat atau menghalang perkembangan penyakit.

Ciri-ciri kajian

Kebanyakan rawatan telah dibuat dalam kajian yang bukan rawak. Namun demikian, kami telah menjumpai lapan kajian rawak terkawal kecil (RCTs), melibatkan 236 peserta yang telah memenuhi kriteria kemasukan.

Keputusan dan kualiti bukti

Dua kajian yang masing-masing mempunyai 22 dan 11 peserta (20 orang mempunyai antibodi terhadap MAG) mencadangkan bahawa IVIg mungkin boleh menghasilkan manfaat yang dapat diukur dalam jangka masa pendek dan agak selamat, namun manfaat dari segi keertian klinikal diragui. Tidak terdapat kesan sampingan yang teruk yang dikaitkan dengan penggunaan IVIg dilaporkan di dalam kajian-kajian tersebut. Satu kajian cyclophosphamide dan kortikosteroid menunjukkan sedikit manfaat. Dua kajian rituximab menunjukkan manfaat positif rituximab, namun bukti adalah berkualiti rendah kerana bilangan peserta yang kecil dan keraguan tentang reka bentuk salah satu daripada dua kajian tersebut. Laporan kesan buruk rituximab adalah kecil, kebanyakannya adalah minor. Kajian-kajian lain tidak membolehkan kami membuat kesimpulan mengenai keberkesanan agen-agen lain dan melaporkan kesan sampingan serius yang kecil. Kami memerlukan RCT dengan rekabentuk yang baik untuk menilai keberkesanan terapi sedia ada dan juga terapi yang baharu dan cara yang lebih baik doktor dan para penyelidik dapat mengesan perubahan yang dilaporkan bagi respon kepada rawatan.

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gan Siew Hua (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi shgan@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).

Tools
Information