Fisioterapi bagi merawat penyakit Parkinson

Walaupun terdapat pelbagai jenis rawatan perubatan dan pembedahan untuk pesakit Parkinson (PD) mereka ini secara beransur-ansur akan mengalami masalah fizikal yang ketara. Ahli fisioterapi berkehendakkan supaya individu dengan PD dapat mengekalkan tahap mobiliti, aktiviti dan kebebasan/keupayaan mengurus diri mereka dengan maksimum melalui penyediaan rawatan yang sesuai. Terdapat kepelbagaian pendekatan terhadap rehabilitasi pergerakan telah digunakan, yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup dengan memaksimumkan kemampuan fizikal dan meminimumkan komplikasi sampingan sepanjang perjalanan penyakit tersebut. Bukti telah menunjukkan bahawa fisioterapi mempunyai manfaat jangka pendek dalam PD, namun pendekatan fisioterapi yang mana adalah paling efektif masih kurang jelas.

Hanya kajian rawak terkawal yang telah disertakan dalam ulasan ini. Kajian-kajian tersebut adalah di mana sekumpulan peserta yang telah diberikan satu jenis intervensi fisioterapi dibandingkan dengan sekumpulan peserta yang menerima intervensi fisioterapi jenis yang berbeza. Para peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan tersebut secara rawak untuk mengurangkan potensi bias.

Sebanyak 43 kajian rawak melibatkan 1673 peserta (saiz purata kajian hanya 39 peserta) telah dikenal pasti sesuai untuk ulasan ini. Kajian-kajian tersebut telah meneliti pelbagai intervensi fisioterapi,dan intervensi-intervensi ini telah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan berdasarkan jenis intervensi yang telah digunakan (fisioterapi umum, senaman, latihan treadmill, isyarat, tarian atau seni mempertahankan diri). Namun begitu, walaupun intervensi fisioterapi ini cuba digabungkan dan diletakkan dalam kumpulan yang lebih kurang sama, intervensi yang dijalankan dan keputusan kajian yang dinilai adalah sangat berbeza sehingga keputusan kajian individu tidak dapat digabungkan.

Ulasan ini telah menunjukkan bahawa terdapat kepelbagaian teknik fisioterapi yang luas yang telah diuji untuk merawat PD. Memandangkan bilangan peserta yang kecil, intervensi fisioterapi yang pelbagai dan kepelbagaian hasil yang ditaksir, terdapat bukti yang tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan satu pendekatan satu jenis intervensi fisioterapi berbanding dengan intervensi fisioterapi yang lain bagi merawat rawatan PD.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research).Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information