Flumazenil berbanding dengan plasebo atau tiada intervensi bagi pesakit sirosis dan ensefalopati hepatik

Latar belakang

Apakah itu ensefalopati hepatik?

Sirosis adalah satu penyakit hati yang kronik. Pesakit sirosis boleh mendapat ensefalopati hepatik, satu keadaan yang menyebabkan fungsi otak menjadi lemah. Pada sesetengah orang, terdapat ciri-ciri klinikal yang jelas terhadap gangguan pada otak berfungsi (ensefalopati hepatik yang jelas); perubahan ini mungkin tidak kekal lama atau berterusan untuk tempoh yang lama. Pada orang lain, tiada perubahan klinikal yang jelas tetapi beberapa aspek fungsi otak, seperti perhatian dan keupayaan untuk melaksanakan tugas kompleks akan terjejas apabila diuji (ensefalopati hepatik minimum). Punca orang mendapat ensefalopati hepatik adalah rumit tetapi perubahan dalam neurotransmitter otak, di mana utusan kimia yang membolehkan sel-sel saraf berkomunikasi antara satu sama lain, mungkin memainkan peranan. Neurotransmitter gamma aminobutyric asid (GABA) bertanggungjawab untuk memperlahankan atau menghalang aktiviti otak dan ia dianggap memainkan peranan yang amat penting.

Apakah itu flumazenil?

Flumazenil adalah sejenis ubat yang bertindak pada salah satu daripada reseptor GABA dalam otak untuk mengubah suai kesannya terhadap sel-sel yang khusus dan jadi boleh memberi manfaat kepada penghidap hepatik encephalopathy. Ia perlu diberi ke dalam salur darah (intravena) dan kesannya tidak bertahan selama lebih daripada beberapa minit.

Soalan ulasan

Penyelidik menyiasat penggunaan flumazenil untuk rawatan ensefalopati hepatik dalam pesakit sirosis dengan mengulas semula kajian klinikal di mana orang diagihkan secara rawak kepada rawatan dengan flumazenil atau plasebo yang tidak aktif atau tiada intervensi yang tertentu.

Tarikh carian

Penyelidik mencari pangkalan data perubatan dan menjalankan carian manual pada Mei 2017.

Sumber dana kajian

Lima daripada kajian klinikal rawak yang dimasukkan menerima sokongan daripada syarikat farmaseutikal.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik mengulas 14 ujian klinikal rawak dengan 867 peserta. Semua kajian klinikal rawak membandingkan infusi intravena flumazenil dengan plasebo tidak aktif (infusion dummy, contohnya larutan garam). Tempoh rawatan adalah dari 10 minit hingga 72 jam. Sepuluh ujian klinikal rawak termasuk para peserta yang mempunyai ensefalopati hepatik yang jelas; tiga melibatkan para peserta yang mempunyai ensefalopati hepatik yang minima; dan satu ujikaji klinikal rawak melibatkan para peserta yang mempunyai ensefalopati hepatik yang jelas atau minimum.

Keputusan utama

Analisis menunjukkan tiada kesan flumazenil terhadap semua punca kematian berbanding dengan plasebo. Orang yang menerima flumazenil adalah lebih berkemungkinan untuk pulih dari ensefalopati hepatik mereka daripada orang yang diberi plasebo. Penyelidik mendapati sedikit maklumat mengenai kesan sampingan yang serius.

Kualiti bukti

Secara keseluruhannya, bukti untuk kesan flumazenil pada ensefalopati hepatik adalah berkualiti rendah; hanya satu kajian klinikal rawak termasuk mempunyai risiko berat sebelah yang rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information