Ubat-ubatan untuk mencegah penyumbatan akses vaskular selepas pembedahan bagi pembentukan fistula arteriovena atau graf

Latar belakang

Orang dengan penyakit buah pinggang lanjutan (disebut penyakit ginjal terminal ) perlukan dialisis untuk melaksanakan fungsi buah pinggang. Dalam hemodialisis, darah ditapis melalui mesin. Untuk membolehkan aliran darah yang cukup besar antara pesakit dan mesin, arteri dan vena boleh disambung secara pembedahan (untuk membentuk fistula arteriovena) atau graf arteriovena prostetik (pengganti vena) diguna untuk menyambung arteri dengan vena. Titik akses ini mungkin bertahan selama bertahun-tahun tetapi boleh tersekat atau dijangkiti. Ulasan ini menyiasat jika terapi perubatan tambahan dapat memastikan titik akses dialisis ini paten (iaitu terbuka atau tidak tersekat).

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Penulis ulsan mengenal pasti 13 kajian rawak terkawal (kajian klinikal yang mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan, bukti terkini sehingga Ogos 2020) yang melibatkan 2080 peserta. Kajian-kajian membandingkan ubat-ubatan antitrombotik (yang mencegah pembekuan abnormal dalam saluran darah; seperti ticlopidine, aspirin, dipyridamole dan clopidogrel) dan jenis ubat lain yang diguna untuk mencegah penyumbatan titik akses arteri dan vena untuk dialisis berbanding plasebo (rawatan palsu) . Kajian-kajian menyertakan orang dengan penyakit buah pinggang teruk yang menerima dialisis melalui semua jenis fistula arteriovena atau graf arteriovena di lengan atau kaki, atau di lokasi khas. Kami mengecualikan orang yang menjalani dialisis melalui perut (disebut dialisis peritoneal), atau kajian-kajian yang membandingkan terapi perubatan dengan tiada rawatan. Di mana mungkin, kami kumpulkan kajian-kajian yang serupa.

Tiga kajian (339 peserta) membandingkan ticlopidine (rawatan antiplatelet) dengan plasebo memperbaik patensi dalam satu bulan. Tiada bukti yang cukup tentang kesan terhadap aliran darah dari tiga kajian yang membandingkan aspirin dengan plasebo (175 peserta) atau dari dua kajian menggunakan minyak ikan selama 12 bulan (220 peserta). Dua kajian membandingkan clopidogrel dengan plasebo dalam kalangan 959 peserta dan mendapati tiada cukup bukti kesan di antara rawatan-rawatan. Kajian tunggal yang melibatkan 16 hingga 167 peserta tidak menemui kesan bagi dipyridamole, dipyridamole dan aspirin, warfarin, sulphinpyrazone (ubat yang mengurangkan kepekatan asid urik dalam darah) atau pelekat glyceryl trinitrat (ubat topikal yang meluaskan salur darah) berbanding plasebo. Kajian yang membandingkan warfarin dengan plasebo dihentikan lebih awal kerana pendarahan major dalam kumpulan warfarin. Dua kajian melaporkan tentang intervensi pembedahan atau radiologi yang berkaitan dan mendapati tiada cukup bukti kesan terhadap intervensi yang berkaitan antara plasebo dan rawatan. Tiada kajian yang melaporkan tempoh berada di hospital. Kebanyakan kajian melaporkan komplikasi mulai dari rasa sakit hingga kematian. Walau bagaimanapun, maklumat adalah terhad dan berbeza antara kajian-kajian. Kebanyakan kajian dipantau untuk jangka pendek oleh itu sebarang manfaat jangka panjang (lebih dari tiga tahun) adalah tidak jelas.

Kepastian bukti

Secara keseluruhan kepastian bukti adalah rendah hingga sederhana, yang bermaksud keputuusan mungkin berubah dengan lebih banyak penyelidikan. Ini kerana kebanyakan satu atau dua kajian kecil yang membandingkan setiap ubat dengan plasebo. Dalam sesetengah kajian, yang mengguna ubat yang sama, mereka pelbagai dos (kekuatan) atau tempoh kajian yang berbeza, sehingga sukar untuk dibandingkan. Kami juga bermasalah dengan kurangnya perincian yang dilapor oleh kajian-kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@csiucd.edu.my

Tools
Information